Penjawat awam sedar perlu lakukan pembaharuan

HARAKAHDAILY | .

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali melahrkan keyakinan rakyat bersedia, kerana merekalah yang lebih menderita sekiranya krisis sekarang berterusan.

"Kita amat bersimpati dengan penjawat awam yang terpaksa berkhidmat di bawah rejim Putrajaya yang korup, mengabaikan kepentingan rakyat dan mencemarkan imej negara di mata dunia.

"Kita juga menyelami kekecewaan penjawat awam kerana kebergantungan Putrajaya hari ini dengan perunding asing dan meminggirkan idea dan peranan penjawat awam," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Ke-11 Wanita dan AMK 2015 di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Katanya, penjawat awam menyedari keperluan melakukan perubahan dan pembaharuan bagi negara menghadapi cabaran abad ke-21.

Menurutnya, mereka lebih memahami konteks sejarah, persekitaran sosio-politik dan kebudayaan Malaysia, serta komited terhadap visi Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kuat.

"Pengalaman saya di Selangor meyakinkan saya bahawa penjawat awam setia kepada nilai dan etika profesyen mereka," ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Tambahnya, apabila mereka diberikan ruang, peluang dan pengiktirafan, mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang demi kemajuan negeri.

Katanya, penjawat awam di Selangor membuktikan kesetiaan mereka kepada pentadbiran negeri hari ini melalui pelaksanaan dasar-dasar yang diputuskan oleh pihak eksekutif negeri dan kesungguhan mereka mengutip hasil yang jauh lebih besar daripada sasaran bagi tahun 2015.

"Kita telah menunjukkan bagaimana persefahaman dan permuafakatan yang digembling atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban telah menjayakan gagasan Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli," katanya lagi.

Beliau berkata, kutipan hasil Negeri Selangor telah melonjak kepada RM2.3 bilion sehingga penghujung November 2015 melepasi unjuran awal sebanyak RM1.97 bilion.

"Kita juga telah berupaya untuk meningkatkan rizab negeri kepada RM3.6 bilion sehingga penghujung September 2015," tambahnya.

Justeru, ujarnya sebagai menghargai sumbangan penjawat awam yang setia kepada prinsip nilai dan perofesionalisma mereka, kerajaan negeri telah memberikan bonus satu bulan setengah gaji berbanding Putrajaya yang hanya memberi elaun khas sebanyak RM500 sahaja. - HARAKAHDAILY 27/11/2015

Share on Myspace