Tangguh cadangan MB Pahang beri geran tanah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) hari ini bersetuju untuk menangguhkan sementara cadangan Menteri Besar Pahang,  Datuk Seri Adnan Yaakob yang ini memberi hak milik tanah tapak rumah seluas suku ekar.

Penyelaras JKOAP, Shafie Dris berkata penangguhan itu perlu sehingga Jawatankuasa Kabinet yang ditubuh oleh kerajaan mengenai Suhakam berkenaan Hak Tanah Adat Orang Asli, membincangkan perkara tersebut.

"Cadangan pemberian hak milik tanah telah diumumkan pada 20 November lalu, JKOAP bersama-sama batin-batin dan beberapa orang pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) bersetuju untuk menangguhkan sementara cadangan tersebut.

"Dalam masa yang sama JKOAP pada 23 November lalu telah membantah cadangan kerajaan untuk memberi geran tapak rumah serta menyerahkan cadangan penyelesaian melalui Geran Komunal mengikut komuniti yang sesuai untuk sistem tanah adat Orang Asli, kerana adat dan budaya Orang Asli berhubungkait dengan tanah," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jika kerajaan berkeras mahu melaksanakan cadangan suku ekar tersebut, kerajaan harus memberi dua pilihan kepada Orang Asli iaitu geran suku ekar dan geran komunal.

"Sebagai wakil, JKOAP membawa suara Orang Asli akar umbi yang masih mengamal adat, menuntut kepada kerajaan Pahang agar geran komunal konsep komuniti dilaksanakan memastikan kawasan mereka masih selamat.

"Manakala untuk kampung-kampung yang sudah teruk terjejas, geran suku ekar boleh dilaksanakan kepada mereka," katanya.

Shafie yang melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Adnan, kononnya dasar suku ekar ini dilaksanakan adalah kerana Orang Asli tidak ada hak kerana kalah dalam mahkamah.

"Kenyataan Adnan itu tidak benar dan ia hanyalah alasan semata-mata. Pemberian geran suku ekar harus di tangguh bagi memberi masa kepada jawatankuasa kabinet membuat siasatan secara menyeluruh berkaitan tanah adat Orang Asli.

 "Mengenai tuntutan suku ekar sebenarnya dituntut oleh beberapa individu, batin-batin dan Pengerusi JKKKOA Orang Asli Pahang serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang, bukan mewakili Orang Asli sepenuhnya.

"Sebenarnya mereka tak tahu bahawa isu hak tanah Orang Asli dalam siasatan kerajaan, sebab itu mereka terburu-buru membuat keputusan, tanpa mengambil kira dan menunggu keputusan pasukan petugas khas jawatankuasa kabinet yang belum pun bermesyuarat," kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2015

Share on Myspace