Siasat kematian kanak-kanak Orang Asli - Suhakam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas laporan kematian kanak-kanak Orang Asli dari suku kaum Jahai di Sungai Kejar, Perak, baru-baru ini.

"Jika perlu mengambil tindakan serta merta," ujar Pemangku Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) terkilan dengan laporan baru-baru ini berkaitan kematian kanak-kanak Orang Asli dari suku kaum Jahai di Sungai Kejar, Perak.

Oleh sebab kanak-kanak Orang Asli kebiasaanya tinggal di kawasan pedalaman yang sering kekurangan asas perkhidmatan sosial termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan, kejadian seperti ini menunjukkan dengan jelas dan mengukuhkan keperluan agar tindakan yang lebih berkesan diambil untuk memastikan bahawa hak asasi masyarakat Orang Asli terus dihormati dan dilindungi.  

Suruhanjaya mengulangi bahawa setiap orang mempunyai hak untuk pencapaian standard tertinggi kesihatan fizikal dan mental, dan Kerajaan bertanggungjawab untuk mempromosi, melindungi, dan memenuhi semua hak asasi manusia bagi semua orang.

Tambahan pula, hak kesihatan bagi Orang Asal telah ditetapkan dalam Perisytiharan Hak Orang Asal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDRIP), yang juga mengiktiraf hak mereka terhadap penggunaan perubatan dan mengamalkan tradisi rawatan kesihatan tradisional (Perkara 24).

Walaupun diakui bahawa Orang Asli jarang mendapatkan rawatan perubatan di hospital Kerajaan, Suruhanjaya berpendapat bahawa usaha dan langkah-langkah yang lebih baik perlu diambil oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendekati masyarakat dan mendidik mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kesihatan.  

Suruhanjaya juga terkejut berkaitan peranan JAKOA yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kesejahteraan, penyampaian perkhidmatan serta untuk mengintegrasikan pembangunan dasar dan program yang memberikan manfaat ekonomi, alam sekitar dan sosial yang berterusan kepada masyarakat Orang Asli, bahawa mereka sendiri tidak mengetahui status kesihatan dan keadaan kanak-kanak Jahai seperti yang dilaporkan.

Suruhanjaya berpendapat bahawa aplikasi dan amalan teori dasar penjagaan kesihatan semasa mereka telah gagal untuk memberi manfaat kepada kelompok masyarakat yang terpinggir dan mudah terjejas ini.

Oleh itu, Suruhanjaya mengimbas kembali syor-syor seperti yang dinyatakan dalam Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/ Asli dan  secara spesifiknya untuk mengkaji semula secara bebas dan menyeluruh terhadap JAKOA.  
   
Suruhanjaya juga berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas laporan kematian ini, dan jika perlu mengambil tindakan serta merta. - HARAKAHDAILY 27/11/2015

Share on Myspace