Peruntukan EAIC dipotong 38 peratus

MUHAMMAD FAIZAL | .

BANGI: Sebanyak 38 peratus peruntukan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dikurangkan pada Bajet 2016 dibandingkan  pada 2015.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata pengurangan peruntukan ini menyukarkan agensi itu melaksanakan program-program yang telah dirancang untuk tahun hadapan.

"Dari peruntukan yang telah kita pohon untuk 2016 dan kita dapati sebanyak 38 peratus telah dipotong.

"Peruntukan yang diluluskan ini hanya mencukupi untuk pengurusan sahaja, ia tidak dapat menampung program yang telah kita susun sepanjang tahun 2016," katanya pada sidang media sempena Program Dialog EIAC bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) di sebuah hotel di sini.

Beliau turut memaklumkan surat rayuan telah dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memohon peruntukan tambahan.

"Kita telah hantar surat rayuan lima belas muka surat dua hari lepas bagi memohon pertimbangan untuk penambahan peruntukan pada tahun hadapan.

"Kita maklum semua agensi dipotong peruntukan mereka tetapi bagi meningkatkan integriti agensi kerajaan dan memudahkan perancangan EAIC, kerajaan perlu pertimbangkan permohonan kita," katanya lagi.

Menurut beliau, walaupun tiada tarikh diperoleh bagi rayuan tersebut dari pihak kerajaan, namun beliau berharap barisan kabinet dapat meluluskan rayuan EAIC.- HARAKAHDAILY 28/11/2015

Share on Myspace