EIAC terima 707 aduan terhadap PDRM

MUHAMMAD FAIZAL | .

BANGI: Sebanyak 707 aduan diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC) terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sepanjang empat tahun, 2011 hingga 2014.

EIAC melalui Laporan Tahunan 2014 memaklumkan bagi tahun 2014 sebanyak 312 aduan telah diterima dari 20 agensi dan aduan tertinggi adalah dari PDRM iaitu 222 aduan.

Sementara itu, aduan diterima terhadap Jabatan Imigresen Malaysia sebanyak 16 aduan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula 11 aduan, dikuti Kastam DiRaja Malaysia iaitu 10 aduan.

Manakala untuk tempoh empat tahun keseluruhan 993 aduan diterima, Jabatan Imigresen Malaysia mencatat  48 aduan, JPJ (33) dan Kastam DiRaja Malaysia (20).

Pecahan aduan mengikut keputusan mesyuarat suruhanjaya 2014 selepas siasatan awal dari 318 aduan diterima sebanyak 225 aduan telah ditolak, manakala dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebanyak enam aduan.

Empat aduan telah dirujuk kepada pihak berkuasa tata tertib dan 66 aduan dilakukan siasatan penuh.

Dalam pada itu mengikut pecahan negeri sebanyak 958 aduan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat aduan tertinggi untuk tempoh empat tahun iaitu 237 aduan.

Perak dan Johor mencatat 67 aduan, Pulau Pinang (60), Kedah (59), Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (49) dan Labuan hanya mencatat satu aduan sahaja.

Laporan tahunan itu turut memaklumkan antara masalah yang dihadapi EIAC ketika menjalankan siasatan ke atas sesuatu aduan adalah kerana kegagalan pihak pengadu untuk memaklumkan butiran terkini alamat mereka.

EIAC juga menghadapi masalah untuk mengesan saksi-saksi yang telah bertukar tempat kerja atau berpindah ke tempat lain atau telah ditamatkan perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 28/11/2015

Share on Myspace