PAS jangan ulang kesilapan Mesir

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

ANTARA masalah yang dihadapi Dr Mursi dalam mengepalai pentadbiran baru Mesir adalah untuk mengawal pegawai tadbir lain dibawahnya. Mereka kebanyakannya masih rapat dengan orang-orang politik regim Hosni Mubarak.

Dr Mursi dan beberapa pimpinan Ikhwan pula sebelum itu meminggirkan arena politik dengan begitu lama sekali. Mereka tidak begitu dikenali dan rapat dengan orang-orang kerajaan.

Ketika FJP menang pilihan raya, hubungan antara pegawai kerajaan masih dingin. FJP naik secara mengejut. Perkara ini mewujudkan ketidakserasian antara pimpinan FJP dan pegawai kerajaan lain.

Ditambah dengan jarum-jarum fitnah yang dimasukkan penyokong-penyokong Mubarak, akhirnya FJP hilang sokongan dalam kerajaan. Dengan sedikit perancangan melalui pegawai dalam tentera dan mahkamah, Mursi digulingkan orang kerajaan sendiri dalam usia pemerintahan yang belum genap setahun.

Peristiwa ini memberi pengajaran berharga buat gerakan Islam di Malaysia. Sinar Islam yang semakin terserlah akan menggantikan regim toghut BN perlu diuruskan sebaiknya.

Sudah tiba masanya polis, tentera, mahkamah, jabatan-jabatan kerajaan dijadikan kawan baik. Yakinkan mereka kita mampu bawa Malaysia ke arah lebih baik.

Politik menyerang semua jentera kerajaan sebagai balaci BN sudah boleh dianggap lapuk. Kini semakin ramai orang dalam kerajaan yang bencikan pemerintah mereka.

Bahkan ada yang terang-terangan memihak kepada pembangkang. Cuma kita perlu pandai posisikan diri supaya menjadi pilihan alternatif di minda dan hati mereka.

Apatah lagi dengan perkembangan terkini, Malaysia dilihat begitu diambil berat oleh kuasa besar barat. Tidak mustahil campurtangan asing akan turut berlaku seandainya ditakdirkan keputusan pilihan raya akam datang memihak kepada PAS.

Perkara ini telah berlaku di banyak negara umat Islam seperti Libya, Mesir dan terbaru Turki. Seandainya kita tidak membina keutuhan bersama rakyat seluruh peringkat dari awal, tragedi rampasan kuasa yang mencabul nilai demokrasi sejagat mungkin akan berlaku pula di Malaysia nanti.

Jangan lagi jadi bodoh dengan termakan fitnah UG. Kita perlu lihat maslahah yang lebih jauh dari sekadar bergabung.

Kalau mahu berpolitik, kita tidak boleh terpengaruh dengan sentimen dan kebencian, kerana ia akan mudah dimanipulasi pihak yang sentiasa mencari peluang. Matangkan minda dan persepsi, jangan biarkan diri dikongkong permainan orang-orang jahat. – HARAKAHDAILY 28/11/2015

Share on Myspace