Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Ahad

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga esok.
    
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata angin kencang timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan itu.
    
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.
    
Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.
    
Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah iaitu di Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman, Labuan dan Sarawak dan ia berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
    
Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut dan dijangka berterusan sehingga hari ini. - BERNAMA

Share on Myspace