Kenyataan ketua AMK Kedah berdasar realiti setempat

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT | .

PENGAKUAN terbuka Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah pada Kongres Nasional AMK 2015 yang meletakkan PAS sebagai parti dominan di negeri ini adalah satu kenyataan berasaskan bacaan kepada realiti sebenar landskap politik Kedah. Pemuda PAS Kedah menghargai pandangan itu dikala cubaan memadamkan hakikat itu sedang giat diusahakan oleh pihak yang mengejar kepentingan sempit mereka.

Kenyataan itu juga seharusnya dapat memberi 'dos kesedaran' kepada pemimpin utama mereka di peringkat negeri yang mutakhir ini kelihatan seperti mengalami halusinasi kerana terpesona dengan rona-rona kiambang yang baru muncul di tengah kolam.

Pernyataan beliau itu juga bermakna komponen pembangkang di negeri ini perlu berpadu hasrat dan tenaga agar tercapai kesatuan menumbangkan Umno-BN, selain mengenepikan sikap adu domba dan kepentingan peribadi.

Hal itu sebenarnya selari dengan pendirian PAS yang diputuskan melalui badan tertinggi iaitu Majlis Syura Ulamak untuk mengekalkan hubungan dengan PKR.

Atas ucapan itu diharap menyedarkan semua pihak untuk segera merapatkan saf dan bekerja untuk rakyat agar perubahan lebih baik terhadap landskap politik dan pentadbiran negeri dapat diberikan secara konsisten.

Penyatuan secara berpadu, jujur dan saling kerjasama ini telah PAS buktikan selama ini kepada PKR dengan tolak ansur dan muhibbah hingga sama-sama pernah memerintah Kerajaan Negeri Kedah selepas PRU 2008 dahulu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah sentiasa membuka pintu dan menghulur tangan kepada sesiapa sahaja untuk bersama seterusnya bergerak gemblengan anak muda untuk kembali meletakkan kekuatan di persada politik negeri.

Dengan tenaga kerja di semua 36 Dun dan 15 Parlimen dalam negeri Kedah, kami yakin mampu menghadapi PRU14 sebagaimana pernah dialami selama ini dan setiap tahaluf atau kerjasama politik akan meneguhkan lagi sokongan bagi menghadapi Umno-BN. -  HARAKAHDAILY 28/11/2015

Share on Myspace