Kemuka ‘blue print’ tahap sara diri padi 100%

NASRUDIN HASSAN | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan menyediakan satu 'blue print' khas untuk memastikan tahap sara diri beras tempatan 100% menjelang tahun 2020.

Peruntukan perbelanjaan bagi industri padi dan beras tahun 2016 sebanyak RM70.1 juta kurang RM500,000 daripada anggaran tahun 2015.

Blue print ini perlu dikemukakan berikutan cabaran industri padi dan beras berhadapan dengan cabaran getir.

Sekiranya kerajaan tidak komited menanganinya, rakyat akan berdepan dengan ancaman kemerosotan bekalan beras tempatan.

Hari ini, negara bergantung sebanyak 70% kepada bekalan tempatan.

Bagi memenuhi keperluan 30% bekalan beras, kita menjadi pengimport bersih daripada Thailand dan Vietnam.

Malaysia akan berdepan dengan cabaran permintaan yang kompetetif kerana faktor ketidaktentuan cuaca dan kemuruduman nilai ringgit. Tidak mustahil harga pasaran akan melambung tinggi.

Kawasan penanaman padi juga semakin berkurangan. Pada tahun 2012, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengakui sebanyak 100,000 hektar kawasan sawah padi telah ditukar kepada penanaman lain dan untuk tujuan pembinaan lot komersial dan residen.

Kini, kawasan penanaman padi hanya 0.68 juta daripada 6.5 juta hektar tanah pertanian sahaja.

Oleh itu, blue print ini sebagai garis panduan penting dan komitmen negara untuk mencapai tahap sara diri 100% dengan mengatasi cabaran yang berlaku pada hari ini.

Sekurang-kurangnya peningkatan pengeluaran padi dan kecekapan pengeluaran mesti melebihi 4.5 juta metrik pada tahun 2020 selaras dengan pertumbuhan penduduk di negara ini. - HARAKAHDAILY 28/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace