Kerjasama negeri-pusat demi manfaat rakyat – MB

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelantan melangkah setapak lagi ke hadapan apabila kerjasama negeri-pusat membolehkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) diwujudkan di negeri ini.

Projek bernilai RM16 juta itu termasuk mengubahsuai bangunan sebanyak RM11 juta dan RM5 juta pengambilan balik tanah, dijangka beroperasi tahun hadapan.

Hubungan rapat dijalin berdasar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun ia disalah tafsir pihak tertentu kononnya PAS mahu bergabung dengan Umno.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama itu dapat dilihat di mana dua wakil Kementerian Kewangan (MoF) dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Dalam lembaga PKINK pun ada wakil MoF. Ini menggambarkan eratnya peranan kerajaan pusat dan negeri dalam memajukan ekonomi Kelantan.

“Wakil itu menjadi ahli tetap, kalau mereka tidak hadir Lembaga PKINK tidak boleh bermesyuarat,” katanya selepas merasmikan pelancaran sambutan 50 tahun PKINK di Kelantan Trade Centre hari ini.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco, pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil rakyat dan Ketua Eksekutif PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

PKINK ditubuh pada 6 November 1966 diusahakan kerajaan PAS pada zaman pemerintahan Datuk Mohd Asri Muda. Pada 6 November 2016 PKINK akan mencapai usia 50 tahun.

UTC diubahsuai daripada bangunan milik PKINK iaitu KB Bazar. Apabila siap kelak UTC akan menempatkan jabatan-jabatan kerajaan pusat dan negeri untuk memudahkan orang ramai berurusan.

Ustaz Ahmad juga berkata kerajaan negeri diberi tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan masalah berkaitan termasuk pengambilan tanah bagi membina parkir kenderaan.

“Kita memainkan peranan bagi membolehkan rakyat Kelantan berurusan pada bila-bila masa di UTC termasuk menyelesaikan pembayaran bil pada waktu malam.

“Rakyat datang membayar hasil tanah atau bil lain sambil membeli belah.

Kita jangka UTC beroperasi awal tahun hadapan,” katanya.  

Menurutnya juga sejak diwujudkan PKINK berjaya melahirkan ramai usahawan Bumiputera yang berjaya.

Oleh itu beliau berharap peranan PKINK bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan Melayu diteruskan pada masa akan datang.

Kata beliau juga PKINK memain peranan penting dalam pembangunan sektor perumahan dan perladangan di Kelantan.

“Dua sektor ini paling ketara sekali berjaya dibangunkan PKINK dalam tempoh usia 50 tahun,” katanya.

Beliau juga berkata PKINK melakukan penstrukturan semula empat anak syarikat yang kurang berdaya maju iaitu KTC, Kelkon, Perdana Resort dan Kompleks Perkayuan Kelantan. – HARAKAHDAILY 29/11/2015

Share on Myspace