Pendidik gesa campur tangan Suhakam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) meminta agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) campurtangan dalam isu membabitkan tiga orang guru yang dianiaya.

Presidennya, Normala Surdiman berkata pertemuan hari ini diharapkan akan menyelesaikan semua perkara yang telah dibangkitkan.

"Hari ini terdapat tiga kes kita bawa membabitkan guru dari Kelantan, Melaka dan Johor. Masing-masing mempunyai masalah dan perlu penyelesaian segera.

"Kita mahu mereka mendapat hak mereka, kita harap tidak ada yang mustahil dan apa yang berlaku ini adalah kerana penyalahgunaan kuasa serta politik," katanya ketika ditemui di Bangunan Suhakam.

Beliau yang menekankan isu membabitkan guru wanita, Norbaizura Idris (Johor) adalah perkara yang serius kerana ia melibatkan akidah anaknya.

"Norbaizura, dua anaknya telah dibawa lari oleh bekas suaminya yang mana kita tahu keluarga beliau adalah beragama kristian.

"Ini perkara serius kerana melibatkan akidah anaknya, selain itu yang menjadi kesukaran setelah pelbagai laporan dibuat kerana bapa mertuanya merupakaN pegawai polis di Johor," katanya.

Menurut beliau, empat laporan polis telah dibuat namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Mahkamah memutuskan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada ibunya, namun tiada sebarang tindakan diambil dan mungkibn kerana kuasa yang dimiliki bekas bapa mertuanya.

"Kita harap Suhakam dapat menyelesaikan perkara ini, dan ia melibatkan agensi kerajaan," katanya lagi.

Normala berharap agar warga pendidik tidak lagi dijadikan boneka oleh pemerintah, mereka perlu diberikan kebebasan sepenuh dalam menentukan apa pilihan mereka.

Katanya, sikap kerajaan yang mengongkong warga pendidik akan menyebabkan minda mereka sempit dan merugikan anak bangsa.

Selain itu, dua kes lagi melibatkan Mohamad Ab Karim Deraman dari Kelantan yang bertugas di Sekolah Menengah Tengku Bendahara telah dipecat sejak September 2012.

Manakala, Juramy Jaffar pula dikenakan tindakan tatatertib dengan bertujuan buang kerja atas tuduhan fitnah membabitkan gambar beliau pada sebidang kain rentang bersama penyelia PKR Bahagian Dun Bemban.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Dr Aishah Bidin ketika mendengar penerangan tersebut berkata, Suhakam akan mengambil tindakan serius setiap laporan yang dibawa.

Beliau berharap setiap individu yang teraniaya akan mendapat hak mereka, terutamanya Norbaizura yang telah mendapat hak penjagaan anak mengikut undang-undang. - HARAKAHDAILY 30/11/2015

Share on Myspace