Khidmat Malaysia T'ganu jawab isu dibangkitkan MB

DR AZMAN IBRAHIM | .

Khidmat Malaysia Terengganu membantu semua mereka yang bernama manusia.

Alhamdulillah… setakat ini mangsa banjir orang Umno yang kita bantu berpindah ke tempat selamat tak terjun turun semula dari bot apabila mendapat tahu bahawa bot yang menyelamatkan adalah bot milik orang PAS.

Dalam kes di Air Putih Kemaman ketika banjir besar tahun 2013, keluarga Cikgu Naemah yang diselamatkan pada saat kritikal ketika berada di atas bumbung rumah dalam keadaan rumah yang telah ditenggelami banjir dengan arus yang sangat deras adalah penyokong Umno, bukan orang PAS.  

Ketika banjir melanda Kuala Nerus pada akhir 2014, Menteri Besar orang Kuala Nerus berada di luar negara. Pemimpin Umno setempat pula telah berkampung di Kuala Lumpur untuk persiapan Persidangan Agung Umno. Meninggalkan ruang kosong untuk Jentera Operasi Banjir PAS berbakti di medan. Kita bantu semua sama ada PAS atau Umno.

Di Jabi ketika banjir akhir tahun 2014, wakil rakyat dan pimpinan Umno Jabi sedang menghadiri program di Cameron Highland sehingga mereka tak kelihatan langsung di medan. Petugas banjir dan Unit Amal PAS yang mewarnai suasana.

Saya juga sebagai Pengarah Operasi Banjir PAS bagi tahun 2014 boleh megesahkan bahawa ketika operasi pembersihan pasca banjir dari taman perumahan ke taman perumahan, petugas PAS membersihkan semua rumah tanpa mengira fahaman politik. Petugas dari Pemuda dan Puteri Umno hanya datang pegang penyapu lebih kurang, tangkap gambar Poligam (politik gambar), kemudian pergi. Itu saja.

Menteri Besar bercakap dalam Sidang Dun supaya petugas PAS jangan pilih parti dalam menghulurkan bantuan. Tetapi sedarkah MB bahawa petugas-petugas bantuan banjir PAS tak dibenarkan langsung untuk memasuki dan memberi bantuan di mana-mana pusat pemindahan banjir di Kemaman pada tahun 2014  lepas. Katanya Kemaman adalah model pengurusan banjir terbaik. Terbaik apa kalau seruan MB pun tak dilaksanakan!

Ketika pelajar-pelajar Unisza terperangkap di kawasan asrama semasa banjir melanda daerah Kuala Nerus, Unit Amal PAS bersedia untuk membantu tapi tak dibenarkan masuk. Kenapa tak dibenarkan masuk? Bukankah kita sekadar ingin membantu.

Isu tampal logo parti ketika Pelancaran Khidmat Malaysia Terengganu yang dibangkitkan MB tak timbul sama sekali. Yang dilekatkan adalah Logo Khidmat Malaysia, bukannya logo bulan. Bagai meludah ke langit kena muka sendiri.

Umum tahu siapa dia sebenarnya juara tampal logo dacing dan keris kepada setiap barangan bantuan banjir yang hakikatnya adalah dari sumber kerajaan, bukannya dari Umno. Peti sejuk, periuk nasi, TV, tilam dan segalanya habis tampal logo keris dan dacing.

Kalau PAS nak tampal logo pun sebenarnya tak salah sebab ini memang bantuan parti walaupun sebenarnya kita tak buat kerja-kerja begini. - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Penulis ialah Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu.

Share on Myspace