Tol Lebuhraya Utara Selatan: Rakyat “The Biggest Loser”

SIM TZE TZIN | .

PENGGUNA Jalan Raya dijangka adalah “biggest loser” dalam perjanjian baru antara kerajaan dan Lebuhraya Utara Selatan. Mengapa dikatakan demikian? Ini berdasarkan tiga sebab.

Sebab pertama, rakyat rugi dalam perjanjian baru ini. Daripada jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya semalam, penstrukturan perjanjian kerajaan dengan PLUS pada tahun 2011, langsung tidak menguntungkan rakyat.

Mengikut jawapan timbalan menteri, kerajaan menurunkan kadar kenaikan tol dari 10% setiap 3 tahun kepada kenaikan tol 5% setiap 3 tahun. Perjanjian ini tidak bijak, kerana kadar tol tetap akan dibenarkan naik. Ini juga tidak menetapi manifesto BN yang menjanjikan penurunan tol antara bandar.

Sebab kedua, dengan perjanjian baru, konsesi tol akan ditambah 20 tahun lagi. Sepatutnya perjanjian tol PLUS akan tamat tahun 2018. Rakyat telah menanti-nantikan penamatan tol Lebuhraya Utara Selatan selama ini.

Rakyat mengharapkan kerajaan membuat perjanjian baru yang menguntungkan rakyat, tetapi, akhirnya, ia tetap menguntungkan syarikat konsesi yang boleh mengutip tol selama 20 tahun lagi. Rakyat tetap rugi.

Sebab ketiga, kerajaan rugi dalam perjanjian ini. Sudah menjadi jelas bahawa kerajaan berhasrat meningkat tol Lebuhraya Utara Selatan tahun 2016. Tetapi kerajaan masih menyediakan RM593.3 juta ringgit dalam Bajet2016 untuk pampasan tol. Peruntukan ini hanya akan bertahan beberapa bulan sahaja untuk melambatkan kenaikan tol. Maka, selepas duit tersebut habis, maka kadar tol tetap akan dibenarkan naik.

Peruntukan pampasan tol diperoleh dari potongan peruntukan lain, terutamanya potongan bajet butiran 060700 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan dan butiran 060800 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua butiran ini dipotong RM529 juta berbanding bajet 2014. Ini bermaksud, demi membayar pampasan tol, penyelenggaraan jalan persekutuan dan butiran lain dipotong.

Kerajaan pernah mengatakan perjanjian konsesi Tol generasi ketiga lebih menguntungkan rakyat. Mereka kata ia berbeza dengan perjanjian terdahulu yang menguntungkan syarikat konsesi. Maka, PKR mendesak kerajaan mengumumkan perjanjian konsesi baru 2011 kepada rakyat umum. Kerajaan harus membuktikan bahawa perjanjian baru Tol PLUS ini lebih menguntungkan rakyat. PKR mendesak kerajaan berlaku adil kepada 506 juta pengguna tol Lebuhraya Utara Selatan setiap tahun.

Berdasarkan sebab-sebab di atas, boleh disimpulkan pengguna jalan raya adalah “the biggest loser” dan “the only winner” adalah syarikat konsesi yang mendapat duit dari semua pihak. – HARAKAHDAILY 1/12/2015

Penulis ialah Pengarah Strategi KEADILAN Pusat, Ahli Parlimen Bayan Baru

Share on Myspace