Vape: PAS Johor sokong titah Sultan Ibrahim

HARAKAHDAILY | .

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim, berkaitan pengharaman 'vape' di negeri Johor yang di arahkan berkuatkuasa 1 Januari 2016, kami dari Badan Perhubungan PAS Negeri Johor bersama-sama Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor serta seluruh kepimpinan dan ahli di pelbagai peringkat, menyokong dan menjunjung titah Tuanku.

Keprihatinan Tuanku terhadap kesan penggunaan vape yang mengandungi nikotin, terutamanya oleh generasi muda amat disanjung tinggi. Tuanku telah menolak sebarang sentimen politik dan perkauman berkaitan isu ini, telah menyerlahkan lagi kepimpinan Tuanku sebagai penaung kepada rakyat negeri Johor Darul Ta’zim.

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan, bahawa vape yang mengandungi racun Nikotin akan dirampas kerana menyalahi Akta Racun 1952, di mana nikotin adalah racun di bawah kelas C di dalam jadual racun yang terlarang. Kandungan nikotin di dalam cecair vape berbentuk Nikotin tulen adalah sebanyak 4mg/ml, berbanding dengan 1mg/ml yang terkandung di dalam sebatang rokok, di mana ianya dikawal di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Manakala, bagi penjualan vape masih belum ada sebarang akta yang mengawalnya kecuali Akta Racun 1952.

Menurut pakar perubatan, racun nikotin tulen vape boleh mendatangkan mudarat segera kepada penggunanya. Kajian daripada Pusat Racun Negara menyatakan racun nikotin akan menyebabkan gangguan perut dan usus jika diambil serendah 2mg. Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk, di antaranya sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin pada paras 4mg boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak, manakala 40mg boleh menyebabkan kematian di kalangan orang dewasa.

PAS Johor juga merasakan bahawa budaya vape ini akan membawa lebih kerosakan kepada nilai budaya masyarakat. Bukan hanya orang dewasa sahaja yang terlibat, tetapi kanak-kanak, wanita dan yang  bergelar ibu juga terlibat. Sekiranya ini tidak dibendung, ia akan merebak dan membarah dan akan merosakkan lagi generasi bangsa Johor di masa hadapan.

Allahu Akbar. Daulat Tuanku.

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Dewan Muslimat PAS Negeri Johor - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Share on Myspace