Teroka tuntut P Pinang dedah maklumat tambak laut

DR. AZRUL ZABIDI | .

TINDAKAN Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terus melabelkan lima Adun daripada PKR sebagai sebagai “memihak kepada Umno” memperlihatkan sikap sebenar DAP yang mengamalkan demokrasi terpilih.

Kekecohan ini berpunca apabila kesemua Adun tersebut memilih untuk tidak berpihak berhubung isu tebus guna tanah seluas 2,600 hektar di muara Sungai Pinang yang diusulkan Adun Pulau Betong daripada BN.

Yang lebih menggelikan hati adalah Adun Tanjung Bungah daripada DAP telah menyokong usul tersebut secara langsung.

Ini telah mengundang kemarahan Ketua Menteri, walhal sebelum ini DAP sendiri telah mengambil sikap berbeza terhadap beberapa ahli Parlimen PAS yang mengingkari ‘whip’ parti berhubung undi untuk meluluskan bajet kerajaan Pusat 2016 di Dewan Rakyat.

Sikap ini jelas menunjukan sikap DAP yang mengamalkan demokrasi mengikut selera mereka dan bukannya demokrasi tulen biarpun dikatakan berideologi sosial demokrat.

Ini tidaklah menghairan kerana sebelum ini pun kerajaan negeri telah memecat bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Saudara Iszuree Ibrahim hanya kerana berbeza pandangan berhubung persoalan projek perumahan dan tanah di negeri ini.

Hal sedemikian mencerminkan sikap talam dua muka DAP berhubung isu kebebasan bersuara yang menjadi tunjang utama demokrasi.

Lebih menarik lagi, Lim Guan Eng juga telah melaga-lagakan pula para pimpinan PKR negeri Pulau Pinang, kononnya ada usaha menggulingkan Timbalan Ketua Menteri dari PKR iaitu Datuk Abdul Rashid Hasnon oleh pimpinan PKR lain, walhal isu tersebut dinafikan oleh PKR sendiri.

Tindakan Lim Guan Eng ini sebenarnya adalah untuk mengalihkan perhatian media dan masyarakat daripada persoalan utama yang dibangkitkan iaitu soal pembangunan mampan khasnya dalam isu penambakan laut.

Isu tersebut telah banyak kali dibangkitkan oleh beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pencinta Alam (MNS).

Justeru kali ini Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar Pulau Pinang (TEROKA) ingin mengambil peranan untuk menggesa kerajaan negeri supaya mendedahkan tujuan dan maklumat terperinci berkenaan projek-projek penambakan laut yang sedang berlaku di negeri ini.

Umum telah maklum bahawa selain muara Sungai Pinang terdapat beberapa lagi kawasan yang sedang dalam proses penambakan laut termasuk di Permatang Damar Laut yang didiami lebih 300 keluarga nelayan persisir pantai.

Malah sebelum itu, kawasan seperti Tanjong Tokong dan Sungai Gelugor telah pun siap ditambak yang akhirnya telah menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup kaum nelayan termasuk mengancam alam sekitar serta hidupan laut.

Malangnya, teguran oleh wakil-wakil masyarakat madani (civil society) tersebut langsung tidak dihiraukan sehinggalah kesemua Adun tersebut mencetuskan ‘kontroversi’ di dalam dewan undangan negeri baru-baru ini.

Maka tidak hairanlah, kerajaan negeri dilihat cuba dengan segera memadamkan isu ini daripada perhatian masyarakat kerana jika tidak ia bakal menjadi perhatian berterusan.

Ini belum lagi soal pelan pembinaan terowong dasar laut yang turut dibantah oleh banyak kumpulan NGO dan waki masyarakat yang bimbang dengan kesan alam sekitar yang berterusan menghantui negeri ini.

Adakah selepas ini para wakil rakyat yang bertanggungjawab dan setia dengan kebenaran merentas parti sama ada daripada PAS, DAP, PKR atau BN perlu sekali lagi menggunakan kata hati (conscience) mereka untuk menentang sebarang pelan pembangunan tidak mampan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat?

Atau adakah sekali lagi kerajaan negeri akan cuba menggelapkan isu-isu tersebut daripada perhatian awam dengan permainan politik laga-melaga dan cemuh-mencemuh?

Atau lebih daripada itu, mungkinkah Ketua Menteri akan langsung mengamalkan ‘autrokrasi’ untuk memastikan kesemua Adun Pakatan Harapan sentiasa memihak kepada beliau biarpun secara demokrasinya backbenchers bebas menilai dan membuat keputusan di dalam dewan? – HARAKAHDAILY 1/12/2015

Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar Pulau Pinang (TEROKA)

Share on Myspace