Tiada benteng punca Sungai Golok melimpah

ASLANI M | .

RANTAU PANJANG: Hujan lebat di kawasan hulu di sempadan Thailand menyebabkan berlaku limpahan Sungai Golok di beberapa tempat di sini petang semalam.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang jam 5.30 petang semalam dicatat 9.59 meter iaitu tahap merbahaya.

Malah laluan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang melalui jalan lama juga terputus hubungan di Kampung Gual Tok Deh.

Penghulu Bandar Rantau Panjang Wan Idris Wan Deraman bagaimanapun berkata paras air Sungai Golok surut hari ini memandangkan cuaca agak cerah.

Katanya, biar pun berlaku peningkatan paras Sungai Golok semalam namun belum ada mangsa banjir yang dipindahkan.

Katanya, hanya kawasan rendah yang terletak berhampiran Sungai Golok yang tenggelam semalam.

“Air Sungai Golok lebih mudah melimpah ke sebelah Kelantan berbanding sebelah Bandar Sungai Golok kerana ada benteng yang sudah lama dibina kerajaan Thailand.

“Biar pun air tidak melimpah di sebelah Thailand namun kelihatan anggota tentera meronda bagi menjaga keselamatan penduduk,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Gual Periok di sini.

Beliau juga berkata Adun Gual Periuk menyedia peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membeli keperluan asas untuk diagih kepada penduduk sekiranya berlaku banjir.

Katanya sebanyak 300 bungkusan makanan akan disediakan dan diagih kepada 14 penghulu di Dun berkenaan. - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Share on Myspace