Kurang mampu pergi hospital kerajaan, kena caj parkir pula

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan disifatkan mahu 'meniaga' parkir apabila memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung.

Ini kerana, menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Dr Rosni Adam hospital kerajaan adalah tempat awam apatah lagi tempat pesakit khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

"Yang pergi hospital kerajaan adalah mereka yang kurang berkemampuan, bila kenakan caj letak kereta yang tinggi, bertambahlah beban mereka dengan pelbagai kenaikan lain lagi seperti tol dan tambang," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, apabila pengurusan tempat letak kereta diswastakan sudah tentu kadar kenaikan caj akan berlaku saban tahun melalui perjanjian konsesi yang ditetapkan.

Keadaan ini katanya, sama seperti perjanjian tol dengan syarikat konsesi yang mana akhirnya rakyat yang menanggung kenaikan harga tol saban tahun.

"Nampak sangat kerajaan mencari jalan hendak mengenakan beban kepada rakyat, bukannya mahu meringankan beban rakyat.

"Sepatutnya konsesi tol yang ada sekarang dijadikan pengajaran kepada kerajaan supaya tidak ada lagi perjanjian berat sebelah berlaku lagi," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Katanya, beban yang bertimpa-timpa melanda rakyat hari ini sekaligus memperlihatkan kerajaan 'tidak berhati perut'.

Justeru tegas beliau, kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata langkah mengenakan caj letak kereta adalah untuk mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital.

Beliau berkata kementerian sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

"Kadar tempat letak kereta akan kita tetapkan dan penender yang ingin libatkan diri kena ikut kadar yang telah ditetapkan," katanya. - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Share on Myspace