Sangat jahat, keterlaluan tuduh PAS terlibat ISIS

NASRUDIN HASSAN | .

PAS adalah sebuah parti politik yang berdaftar dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini.

Saban tahun kita menghantar laporan aktiviti dan rutin kedudukan organisasi kepada ROS.

Malah aktiviti PAS adalah di pentas politik terbuka. Kita bukan gerakan subversif apatah lagi militan. Saya percaya pihak KDN ataupun Keselamatan Negara senantiasa memantau pergerakan PAS.

Komitmen PAS adalah bergerak di pentas demokrasi. Tuduhan yang dilemparkan kepada PAS kononnya PAS terlibat dengan ISIS dan lain-lain gerakan militan adalah tuduhan yang sangat jahat dan keterlaluan. Mereka recycle tuduhan lapuk yang pernah dilemparkan kepada PAS sejak awal penubuhan PAS.

Alhamdulillah, sehingga kini PAS tidak pernah dibuktikan terlibat dengan gerakan keganasan.

Malah isu pengeboman di Paris, Presiden PAS dan MP PAS segera ke Kedutaan Perancis untuk melahirkan simpati kepada kerajaan Perancis dan mengutuk kekejaman atau keganasan yang berlaku.

Lucunya, baru beberapa bulan mereka keluar PAS, tetiba PAS jadi militan? Jadi ISIS? Lalu mereka menyelongkar kisah silam kononnya sebagai bukti PAS ganas? Sedang sekian lama mereka berteduh di bawah payung PAS.

Semasa mereka berteduh, sekian lama di bawah bendera PAS, PAS dijulang oleh mereka sebagai demokratik. Tetapi, bila mereka keluar, tak sampai 4 bulan, PAS jadi ganas hanya dengan satu dua kes silam yang diangkat kembali secara tanggapan yang salah. - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace