Lebuh raya Pan Borneo elak kemalangan berulang

ZULZAIM HILMEE ABIDIN | .

Dewan Pemuda PAS Sabah menggesa Lebuh raya Pan Borneo yang dibentangkan di dalam Bajet 2016 baru-baru ini untuk dilaksanakan secara lebih agresif bagi mengurangi statistik kemalangan jalan raya dan tidak sebagai gula-gula pilihan raya.

Berita kemalangan terbaru yang berlaku melibatkan sebuah bas ekspress di Jalan Kiau-Ranau sangat menyayat hati.

Dimaklumkan, kemalangan tersebut melibatkan 28 orang termasuk penumpang, konduktor bas dan pemandu.

Merujuk kepada statistik yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan, sebanyak 140 kes kemalangan yang melibatkan bas telah berlaku sejak tahun 2007 iaitu dalam tempoh 8 tahun.

Secara purata 18 kes kemalangan yang melibatkan bas berlaku setiap tahun di negara kita. Ini adalah satu angka yang sangat memeranjatkan dan menggerunkan.

Indeks kematian jalan raya iaitu 2.88 seperti yang ingin dicapai oleh pihak Kementerian Pengangkutan perlulah ditekankan melalui beberapa aspek iaitu melalui penguatkuasaan (enforcement), kejuruteraan (engineering), persekitaran (environment) dan penilaian (evaluation).

Keadaan geografi dan muka bumi di kawasan Ranau yang berada di kawasan pergunungan perlu kepada penilaian semula dari aspek peningkatan keselamatan untuk mengelakkan kejadian seumpama berulang.

Kerajaan juga perlu membentangkan lebih terperinci perlaksanaan Lebuh raya Pan Borneo kepada rakyat Sabah seperti yang dicanang-canangkan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional agar rakyat menikmati kemudahan sewajarnya setelah dipinggirkan sekian lama. - HARAKAHDAILY 1/12/2015

Penulis ialah Timbalan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Share on Myspace