10% rakyat percaya jenayah turun, di mana silapnya?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menyokong pelbagai langkah yang dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah antaranya menambahkan jumlah pegawai yang bertugas, juga pertambahan cctv.

"Secara statistiknya, PDRM mengesahkan kadar jenayah menurun," ujar Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika membahaskan Bajet 2016 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, semalam.

Namun, katanya kajian yang dijalankan Frost and Sullivan, sebuah agensi yang dilantik kerajaan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan berhubung perkhidmatan yang diberikan pihak berkuasa dan keselamatan negara pada 2013, membuktikan sebaliknya.

Menurutnya, kajian itu menunjukkan hanya 10 peratus sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia percaya kadar jenayah menurun.

Tambahan pula, kata beliau indeks rasa selamat juga hanya 29 peratus pada 2014.

Beliau mengambil sampel kes di kawasan Parlimen Temerloh.

"Saban minggu kita mendengar berita pecah rumah, samun dan sebagainya di taman-taman perumahan," ujarnya yang juga Ketua Penerngan PAS Pusat.

Demikian juga, katanya di Taman Pelindung Perdana Beserah Kuantan sehingga penduduk setempat terpaksa mengupah pihak swasta untuk buat kawalan dari jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi.

"Jadi, saya mohon respons daripada kementerian terhadap perkara ini. Di mana silapnya?" ujar beliau lagi

Beliau juga mempersoalkan adakah penguatkuasaan masih belum benar mencegah jenayah daripada berlaku.

"Atau lompongnya terletak pada undang-undang yang sedia ada gagal menggerunkan penjenayah dan menghadirkan rasa selamat di kalangan rakyat Malaysia?" tanya beliau. - HARAKAHDAILY 2/12/2015

Share on Myspace