PAS Perak persiap calon kalangan DHPP

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: PKR perlu menyatakan pendirian sama ada bersama dengan Pakatan Rakyat ataupun sebaliknya kerana ia akan menentukan landskap politik khususnya di Perak, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, di Pejabat Perhubungan PAS.

Tambahnya, PAS Perak kini dalam persiapan membina semula persepsi mewakili pelbagai kaum menjelang PRU-14 akan datang.

Sehubungan itu katanya, di bawah Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak akan ditubuhkan satu jawatankuasa khas bertindak memilih bakal pimpinan bukan Islam untuk bertanding dalam pilihan raya.

Razman menjelaskan, pendirian PAS Perak teguh sepertimana yang telah diputuskan oleh PAS Pusat tiada kerjasama antara DAP.

"Potensi setiap calon dan kerusi yang dipertandingkan akan terus dinilai tanpa wujud kerjasama dengan mana-mana pihak," ujar beliau.

Beliau juga memperkenalkan kepada media, pembawaan PAS Perak kali ini yang diterjemahkan melalui slogan "PAS Memimpin Perubahan".

Turut serta dalam sidang media tersebut, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin, Ketua Dewan Himpunan PAS Perak (DHPP), Applasamy dan beberapa jawatankuasa yang lain. – HARAKAHDAILY 2/12/2015

Share on Myspace