Rakyat Penanti nanti pembangunan dari DAP

NUR ADILA ABDUL WAHAB | .

BUKIT MERTAJAM: Rakyat Penanti di dalam Kawasan Parlimen Permatang Pauh begitu lama menantikan pembangunan.
    
Sehinggakan pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, wakil rakyatnya melahirkan perasaan sedih yang amat sangat kerana luahan dan persoalan yang dibangkitkannya mengenai pembangunan penduduk Penanti diabaikan begitu sahaja.
    
Katanya kawasan Dewan Undangan Negeri yang beliau wakili itu merupakan kawasan luar bandar yang terpinggir daripada pembangunan arus perdana di Pulau Pinang yang sedang pesat dibangunkan dengan projek-projek besar.
    
Apa yang boleh dibangunkan di Penanti?
    
Bagi Pengerusi Nelayan Kampung Terus, Baharuddin Abdullah, kampung itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan sungai.
    
"Di Sungai Terus boleh dibina rumah bot untuk pelancong. Sungai ini juga dipenuhi dengan udang galah, ikan patin, kelip-kelip dan burung yang boleh dinikmati pelancong.
    
"Penanti belum diteroka kepada dunia. Ikan-ikannya masih belum tercemar dan segar. Sungai Terus boleh dikomersialkan. Ia boleh digunakan untuk membawa pelancong menyelusuri sungai hingga ke muara Taman Skatepark Ampang Jajar, di Butterworth," katanya.
    
Baharuddin berkata di Penanti pelancong berpeluang menikmati keindahan landskap yang dipenuhi dengan sawah padi dan bukit bukau yang menghijau.
    
Beliau berkata kerajaan negeri memang memberi peruntukan, tetapi hanya bertumpu kepada menaik taraf dan penambahbaikan longkang dan sistem tebatan banjir.
    
"Peruntukan lebih besar perlu untuk aktiviti pelancongan di Penanti termasuk menaik taraf jeti bagi menampung bot nelayan di samping bagi membina rumah bot," katanya.
    
Sementara itu Pegawai Seranta ADUN Penanti, Norly Masitah Mohamed Noor berkata kerajaan negeri lebih memberi perhatian kepada bahagian pulau di negeri ini berbanding kawasan tanah besar dalam membangunkan projek pelancongan yang lebih mendatangkan hasil lumayan kepada kerajaan negeri.
    
"Kami faham di bahagian pulau banyak kawasan warisan dunia. Tapi kerajaan negeri perlu ingat bahawa ada pelancong yang lebih suka tengok alam semula jadi.

Mereka suka melihat sawah padi, sungai. Ini semua masih boleh didapati di Penanti," katanya.
    
Beliau berkata apa yang dibangkitkan wakil rakyat Penanti pada persidangan Dewan Undangan Negeri menggambarkan situasi yang dihadapi penduduk Penanti yang seolah-olah diabaikan penantian mereka. - BERNAMA

Share on Myspace