Tambang naik, pengerusi SPAD perlu letak jawatan

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DPPM mahu Tan Sri Dr Syed Hamid Albar yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meletakkan jawatan selepas agensi itu gagal memainkan peranan dalam membendung kenaikan tambang pengangkutan awam sepanjang 2015 hingga awal 2016.

Kenaikan tambang ERL dari RM35 kepada RM55 (kenaikan sebanyak RM20 iaitu 57%) berkuatkuasa 1 Januari 2016 melengkapkan senarai kegagalan SPAD dalam membendung kenaikkan harga tambang pengangkutan awam.

Pada pertengahan Mac 2015, SPAD telah mengumumkan kenaikan 49% tambang teksi bagi Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, iaitu diantara 25 sen sehingga 75 sen per kilometer. Seterusnya SPAD membenarkan kenaikkan tambang bas ekspress sebanyak RM4.60 sehingga RM11.00 mulai 1 Mei 2015.

Berkuatkuasa pada hari ini pula, 2 Disember 2015 tambang Komuter KTMB naik  sebanyak 4 sen dari 11 sen bagi setiap kilometer, kepada 15 sen bagi setiap kilometer.

Manakala tambang bagi LRT turut naik sebanyak 102% dengan kadar bayaran 70 sen dan 30 sen bagi 4km pertama. Tambang Monorel pula naik sebanyak 40% bermula pada kadar 70 sen dan RM0.58 bagi 4km pertama dan RM0.37 bagi 5km seterusnya.

Secara puratanya kenaikan ini meningkatkan kos pengangkutan rakyat secara keseluruhannya sebanyak 60% berbanding tahun sebelumnya. Pengangkutan awam kini menjadi pilihan yang agak mahal dan membebankan rakyat.

Rakyat kini dipaksa untuk menanggung beban ini tanpa alternatif kerana kos minyak juga meningkat ekoran pemansuhan subsidi dengan kadar tol juga sudah dinaikkan, begitu juga dengan kadar parking bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang khususnya.

DPPM melihat SPAD gagal memainkan peranannya bagi membantu rakyat dan dilihat sebagai agensi yang wujud sekadar untuk meluluskan permit dan mengumumkan kenaikan tambang sahaja.

SPAD juga dilihat jauh tersasar dari visi dan misinya untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat bagi menjadi mod pilihan rakyat yang mampu dibayar.

DPPM percaya kakitangan SPAD dan keseluruhan kakitangan Kerajaan juga terasa beban ini. Tetapi dasar-dasar yang dirangka dan dilaksanakan bukan sahaja membebankan mereka tetapi rakyat keseluruhannya.

DPPM mengesa agar SPAD kembali memainkan peranan secara serius bagi membendung kenaikan ini dan berharap Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan bekerjasama bagi menilai kos pengangkutan awam supaya dapat mengimbangi kos hidup rakyat secara keseluruhannya.

DPPM juga memahami beban yang ditanggung oleh pengusaha pengangkutan awam ekoran daripada kenaikan kos pengendalian dan penyelenggaraan. Namun mereka perlu melihat kesan kenaikan ini kepada ekonomi rakyat yang menjadi pelanggan mereka.

Satu mekanisma perlu dikenalpasti oleh pihak Kerajaan bagi membantu industri pengangkutan awam di negara ini supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dengan harga yang berpatutan tanpa merugikan rakyat atau pihak pengusaha industri.

DPPM juga terbuka untuk bertemu SPAD dan syarikat pengangkutan awam untuk lebih memahami dan berkongsi idea bagi mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat. – HARAKAHDAILY 2/12/2015

Share on Myspace