Tuduhan radikal: PAS sangkal MCA dan PAN

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi menegaskan parti itu menentang segala kegiatan yang berbentuk ekstrem atau keganasan sejak awal lagi, demikian tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, jika ada sekalipun ahli PAS yang terlibat dalam kegiatan seperti itu, ia merupakan tindakan peribadi bukannya pendirian parti.

"Tetapi mereka yang terlibat ini kebanyakannya telah meninggalkan PAS sama ada menyertai Umno atau parti-parti lain. PAS sentiasa pertahankan keadilan untuk Islam," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie yang meminta Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman menyiasat ahli PAS kerana berhubungan dengan kumpulan keganasan dan militan.

Malahan katanya, PAS juga tidak pernah memberi sokongan kepada bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah Mohd Lotfi Ariffin yang menyatakan hasrat untuk menyertai perjuangan di Syria bersama pergerakan Ajnad As-Syam.

"Apabila Allahyarham Lotfi menyatakan hasrat mahu pergi, PAS tidak bagi sokongan malah kita minta beliau letak jawatan dalam parti," jelasnya.

Namun katanya, adalah menjadi kebiasaan bagi PAS untuk mendoakan kesejahteraan seseorang yang meninggal supaya mendapat keampunan Allah dan rahmat sepanjang hidupnya.

"Mendoakan itu bukan bererti menyokong ahli-ahli kita terlibat dalam gerakan radikal di mana-mana negara," ujarnya.

Justeru beliau turut menyangkal dakwaan daripada pemimpin Parti Amanah kononya PAS mengamalkan gaya ISIS.

"Dakwaan itu tidak benar sama sekali. PAS amalkan pendekatan sederhana dan baik tidak ada pendirian yang radikal. Lagi pun ISIS baru sahaja wujud, PAS sudah 64 tahun di Malaysia ini," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 2/12/2015

Share on Myspace