Rakyat Kelantan tidak mudah diperdaya Umno

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan dianggap celik politik dan mereka tidak mudah diperdaya pemimpin Umno bagi merampas negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kepimpinan ulama membuktikan kemampuan mentadbir Kelantan sehingga sekarang sudah melewati 25 tahun.

Katanya rakyat Kelantan menikmati banyak program berkebajikan berbanding negeri-negeri lain yang ditadbir di bawah BN.  

“Pentadbiran kerajaan Umno dan BN penuh skandal sehingga menyusahkan rakyat. Jadi tidak munasabah rakyat hendak bertukar kepada parti itu,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendakwa parti itu akan merampas Kelantan pada PRU14.

Che Abdullah juga berkata kerajaan Kelantan tidak pernah menyimpang dari acuan dirintis Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kenyataan Mustapa tidak boleh dipandang remeh dan perlu ada kesungguhan jentera pilihan raya PAS bagi mempertahankan Kelantan sama ada daripada Umno atau PAN. - HARAKAHDAILY 2/12/2015

Share on Myspace