Kenaikan tambang, rakyat bertambah beban

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

MUTAKHIR ini kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam semakin menjadi trend. Semuanya cuba diwajarkan dengan alasan (i) semakan harga telah lama tidak dibuat dan (ii) ia masih lebih murah berbanding yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Kelmarin diumumkan pula kenaikan tambang sehala perkhidmatan ERL dari KL Sentral ke KLIA/KLIA2 bermula Januari depan kepada RM55 iaitu kenaikan sebanyak 57% daripada tambang semasa.

Sebelum ini telah diumumkan kenaikan kadar tambang bagi perkhidmatan KTM iaitu sebanyak 20% hingga 140% dan bagi LRT, Monorail dan RapidKL pula sebanyak 40% hingga 102%. Sebelum itu lagi, kadar harga tol juga telah dinaikkan antara 25% hingga 80%. Harga tambang bas pun turut dinaikkan. Selain itu, harga runcit petrol juga dinaikkan pada hampir setiap bulan.

Jika data kepenggunaan isi rumah (household consumption) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan perbelanjaan untuk tujuan pengangkutan pada tahun 2000 ialah 12.6% dan pada tahun 2009 naik kepada 13.1%, maka saya percaya ia boleh mencecah kepada 22.2% pada tahun 2015 berikutan trend kenaikan yang sedang berlaku sekarang ini.

Saya juga yakin bahawa selepas ini akan diumumkan banyak lagi kenaikan termasuk tariff air dan elektrik yang hanya akan menambahkan lagi beban rakyat.

Kenaikan-kenaikan kadar tambang atau harga ini amat tidak patut sama sekali. Sewajarnya Kerajaan menyelesaikan dahulu isu kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini yang kelihatan dan dapat dirasai tidak banyak penambahbaikkan yang berlaku dan sepatutnya juga Kerajaan memberikan keutamaan untuk mengekang atau mengawal kenaikan pelbagai kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 3/12/2015

Share on Myspace