Selamat menyambut Hari OKU Antarabangsa 2015

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua pihak sama ada individu ataupun masyarakat dan paling penting kerajaan memberi komitmen bagi merealisasikan potensi dan keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menyedari hal ini Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat menegaskan menegaskan bahawa Islam telah lama menyelesaikan persoalan membentuk Masyarakat inklusif.

Menurut Pengerusinya, Dr Rosni Adam, dalam membicarakan hal-ehwal OKU, Islam sejak awal telah mengiktiraf potensi dan keperluan pelbagai Komuniti OKU mengikut katagori kecacatan yang dialami.

"Ia termasuklah dalam aspek sosial, ekonomi, perundangan, peribadatan, politik dan kehidupan.
 
"Di pihak kami, usaha berterusan ke arah mengupayakan OKU pelbagai katagori akan terus dilaksanakan melalui Sekretariat Prihatin OKU yang dipengerusikan oleh seorang OKU, Mohammad Faizal Che Yusof," katanya kepada Harakahdaily.
 
Katanya, Islam yang meletakkan kemuliaan pada setiap insan itu harus dijelmakan bahkan setiap individu ciptaan Allah punyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri meskipun ditakdirkan cacat atau kurang upaya.

Beliau berkata demikian sempena Hari OKU yang disambut pada hari ini dengan tema  “Inclusion matters: access and empowerment for people of all abilities” yang menjelaskan lagi hasrat tersebut betapa faktor kemanusiaan amat penting dalam membentuk sebuah Masyarakat yang inklusif.

Jelasnya, tema kali ini memperjelaskan lagi bagaimana halangan persekitaran dan sikap yang wujud dalam kehidupan hari ini memisahkan Orang Kurang Upaya dalam pelbagai isu dan aspek kehidupan.

Justeru, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Parti Islam Se-Malaysia LKKP Pusat mengucapkan selamat menyambut Hari OKU Antarabangsa bagi tahun 2015.
 
Hari Orang Kurang Upaya antarabangsa yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB lebih dua dekad lalu adalah satu usaha berterusan Masyarakat antarabangsa dalam usaha mengupaya dan memperdaya Orang Kurang Upaya di tengah-tengah masyarakat. – HARAKAHDAILY 3/12/2015

Share on Myspace