Usul rujuk Nurul Izzah ke JK Hak, Kebebasan dipersetujui

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memutuskan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas membuat undi belah bahagi di Dewan Rakyat tengah hari ini.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan perkara itu apabila seramai 105 Ahli Parlimen menyokong usul membawa Nurul Izzah ke jawatankuasa tersebut manakala seramai 77 ahli parlimen yang tidak bersetuju.

"Dengan yang demikian usul untuk merujuk Lembah Pantai ke jawatankuasa adalah dipersetujui, terima kasih," ujarnya sebelum menangguhkan sidang ke sesi sebelah petang.

Usul yang dikemukakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membawa Nurul Izzah kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran sekeping gambar pertemuan Naib Presiden PKR itu dengan anak perempuan Jamalul Kiram III, Jacel Kiram menjadi viral di media sosial.

Antara kandungan usul itu menyifatkan pertemuan Nurul Izzah telah menimbulkan prasangka negatif dan tidak sensitif terhadap peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang mencabar kedaulatan negara pada tahun 2013.

"Lembah Pantai sedia maklum Jacel menentang kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia dan sehingga kini masih menuntut negeri Sabah adalah milik kesultanan Sulu.

"Pertemuan bersama dengan anak dalang kepada pencerobohan negara dilihat bertentangan dengan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan sumpah setia beliau kepada Malaysia yang berikrar untuk menumpahkan taat setia sebenar kepada Malaysia, memelihara, melindungi, dan mempertahankan perlembagaannya," katanya.

Lima anggota parlimen yang mengambil bahagian membahaskan usul tersebut, iaitu Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Majigoh.

Sebelum itu, Nurul Izzah berucap menjelaskan berhubung isu pertemuannya dengan Jacel Kiram. - HARAKAHDAILY 3/12/2015

Share on Myspace