Jais anjur Daurah sempena cuti sekolah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sempena musim cuti persekolahan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekali lagi menganjurkan Program Daurah Remaja Islam (Daurah) dengan kos RM612,000.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata peruntukan disediakan Jais, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan selebihnya sumbangan agensi lain.

Katanya, sebahagian besar dana juga menggunakan peruntukan Tabung Amanah Pembangunan Islam Negeri Selangor (Tapis).

Menurutnya, pada tahun ini, Tapis menyediakan peruntukan RM100,000 kepada sepuluh masjid terpilih, iaitu yang kurang berkemampuan melaksanakan program ini tetapi aktif menggerakkan kutipan Tapis.

“Sepuluh masjid ini tambahan selain 30 lokasi yang dilaksanakan sebelum ini yang sudah dan dilaksanakan bermula November hingga hujung Disember 2015," katanya dipetik Selangor Kini.

Daurah merupakan program tahunan yang diadakan selama seminggu di 30 lokasi berbeza termasuk masjid, surau dan agensi yang terpilih.

Antara masjid terpilih tajaan Tapis ialah Masjid Jamiul Ehsani, Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Petaling, Masjid Al-Azim, Hulu Langat, Masjid Saidina Ali, Hulu Selangor, Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Sepang dan Masjid Kiyai Hj Abdullah Omar, Klang dan Masjid Ar-Ridhuan, Kuala Selangor

Masjid lain termasuk Masjid Batu Arang, Batu Arang, Gombak, Masjid Al-Fitrah, Kampung Banting, Sabak Bernam dan Masjid Ma’muniah, Sungai Nipah, Sabak Bernam.

Sementara itu, terdapat empat badan bukan kerajaan (NGO) akan terlibat secara langsung dalam program itu, antaranya, Badan Kebajikan Wanita Selangor, Akademi Pendidik, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor dan Gabungan Pendakwah Islam Selangor.

Share on Myspace