PAS Selangor tidak akan lepas kerusi ditandingi

DATUK ISKANDAR A SAMAD | .

SEBAGAI sebuah parti politik, pilihan raya adalah salah satu agenda utama PAS. Walaupun PAS juga adalah sebuah badan kebajikan, dakwah dan tarbiyyah namun persiapan menghadapi pilihan raya digerakkan sepanjang masa.

Oleh yang demikian, pada lazimnya jentera pilihan raya PAS di setiap kawasan Parlimen malah hampir di setiap Dun akan digerakkan.

Ini bermakna PAS mempunyai persiapan dan kelengkapan untuk menghadapi pilihan raya di mana-mana kerusi.

Walau bagaimanapun ini tidak bermakna PAS akan bertanding di semua tempat di mana jentera pilihan raya kami telah digerakkan.

Berdasarkan pengalaman pada PRU13, jentera itu sama ada akan membantu parti rakan (ketika itu parti Pakatan Rakyat yang lain) di tempat mereka atau di tempat-tempat lain di mana PAS meletakkan calon.

Buat masa ini PAS Selangor belum lagi menetapkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi kecuali kerusi-kerusi di mana PAS telah bertanding pada PRU13.

Walau bagaimanapun PAS Selangor tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang pernah ditandingi kami.

Pilihan raya akan datang perlu diadakan pada 2018, bermakna ada lebih dua tahun sebelum pilihan raya wajib diadakan. Dalam tempoh yang lama itu, tidak dapat diramalkan bentuk landskap politik ketika itu.

Pendek kata belum masanya lagi bagi PAS Selangor untuk membuat apa-apa pengumuman. Walau bagaimanapun sebarang usaha hendaklah ke arah memastikan Barisan Nasional dapat ditumbangkan pada pilihan raya umum tersebut. Rakyat telah terlalu lama menderita di dalam cengkaman mereka. – HARAKAHDAILY 3/12/2015

Share on Myspace