Saya tidak pernah lihat Najib setakut sekarang - Kadir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya mengenali Mohd Najib secara peribadi pada tahun 1977 dan Muhyiddin pada awal tahun 1980an," tulis Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam blognya bertajuk Pelik, Satu Umno Takut Kepada Seorang.

Katanya, dalam tempoh itu, beliau tidak pernah melihat Mohd Najib setakut sekarang dan Muhyiddin begitu ditakuti.

Berikut tulisan penuh beliau.

PENAFIAN hak Timbalan Presiden Umno, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, merasmikan persidangan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda di Persidangan Agung Umno (PAU) mulai 8 Disember ini adalah manifestasi mutakhir dua perkara.

1. Ketakutan yang semakin mendalam yang menghantui Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak dan konco-konconya.

2. Pemusnahan demokrasi, tradisi dan konvensyen Umno semata-mata kerana Mohd Najib dan konco-konconya tidak yakin terhadap sokongan perwakilan, pemerhati dan ahli parti kepada mereka.

Mereka yang besar bilangannya dan mempunyai kuasa yang luas ke atas jentera propaganda parti takut berdepan dengan seorang Timbalan Presiden yang tidak berjawatan dan tidak ada akses kepada jentera parti.

Saya mengenali Mohd Najib secara peribadi pada tahun 1977 dan Muhyiddin pada awal tahun 1980an.

Dalam tempoh itu, saya tidak pernah melihat Mohd Najib setakut sekarang dan Muhyiddin begitu ditakuti.

Realitinya, Mohd Najib tidak pernah berani atau tegas. Beliau naik kerana licik main selamat sambil dipimpin dan dilindungi oleh mentor-mentornya  – Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan, secara pseudo, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin pula bukanlah watak yang menonjol, lantang dan tegas. Dalam banyak hal beliau adalah “the second fiddle” (biola kedua).

Tetapi hakikat bahawa Mohd Najib dan keseluruhan kepemimpinan atasan Umno kini begitu takut kepada beliau amat menakjubkan.

Saya rasa Muhyiddin sendiri tidak boleh mengukur dan memahami mengapa tiba-tiba beliau begitu ditakuti.

Takut Kerana Salah...

Semua ini terjadi bukan kerana kekuatan Muhyiddin tetapi kerana kelemahan Mohd Najib.

Kedua-dua mereka bukanlah pemain catur politik yang hebat. Seperti majoriti penggiat politik Umno sekarang, mereka tidak mempunyai karisma dan “killer instinct”.

Mereka bukan dalam kategori mahaguru politik seperti Allahyarham (Datuk) Harun Idris, (Tun) Mohammad Ghazalie Shafie dan Tan Sri Syed Jaafar Albar serta Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan (Tan Sri) Sanusi Junid.

Dalam keadaan biasa, Mohd Najib dan Muhyiddin sama kuat atau sama lemah. Tetapi dalam keadaan sekarang, Mohd Najib nampak lebih lemah.

Oleh sebab itulah beliau memerlukan perlindungan daripada kepemimpinan atasan Umno dan jentera pentadbiran negara untuk berdepan dengan Muhyiddin.

Kita tidak perlu bertanya pujangga dan pendeta untuk mengetahui mengapa Muhyiddin dilucutkan jawatan kerajaan dan disekat daripada berkomunikasi dengan ahli parti di PAU.

Jawapannya satu sahaja. Muhyiddin mempunyai soalan-soalan sah (legitimate questions) mengenai hal-hal yang disembunyikan daripada ahli parti atau yang dibohongi kepada mereka.

Soalan-soalan mengenai 1MDB, SRC International, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan pemecatan serta tindakan disiplin ke atas ahli parti yang mengkritik Mohd Najib.

Mohd Najib dan konco-konco tidak yakin bahawa penjelasan mereka kepada ahli Majlis Tertinggi, ketua-ketua bahagian dan cawangan serta ahli parti dalam perjumpaan-perjumpaan tertutup diyakini sepenuhnya.

Mereka takut soalan-soalan Muhyiddin dan ketua-ketua cawangan yang berani akan membuka mata perwakilan sehingga menyebabkan mereka mengubah pendirian.

Pokok pangkalnya Mohd Najib dan konco-konconya takut dimalukan. Mereka takut kena sorak, kena herdik dan kena sindir. Paling mereka takuti adalah Muhyiddin dan para pengkritik Mohd Najib akan mendapat tepukan gemuruh. Atau penunjuk perasaan di luar dewan membawa sepanduk mengenai 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion.

Banyak Cara Lapah Harimau

Kalau Muhyiddin berazam dan beriltizam untuk mempertahankan demokrasi, amalan dan konvensyen Umno, beliau mempunyai banyak cara.

Dalam dunia yang dipacu oleh Internet, beliau masih boleh berkomunikasi dengan berkesan walaupun tidak lagi mempunyai akses kepada media arus perdana (MAP).

Lagipun, MAP telah hilang kewibawaan dan audiens kerana membiarkan diri mereka diperkuda oleh Mohd Najib dan konco-konconya serta kalah berulang apabila disaman oleh pembangkang.

Umno dan MAP sudah kucar-kacir. Justeru itu, adalah lebih baik bagi Muhyiddin bertindak di luar kerangka Umno dan MAP.

Dalam konteks itulah kemunculan beliau di Ibu Pejabat Umno bagi memberi sokongan moral kepada sembilan ketua cawangan Umno dalam Bahagian Telok Kemang, Negeri Sembilan yang dihadapkan kepada Lembaga Disiplin petang semalam dianggap penting.

Soal beliau menjadi tunggul di PAU tidak timbul. Kehadiran beliau di atas pentas nanti akan menjadi tumpuan dan telahan perwakilan. Gerak-geri (body language) beliau akan dibaca, diulas dan dikupas.

Kalau kamera media massa dan telefon pintar tidak diharamkan di dalam dewan, pelbagai gambar dan teks akan tersebar di ruang siber menceritakan apa yang tersurat dan tersirat.

Sebaliknya, yang terancam adalah Mohd Najib dan konco-konco beliau. Silap-silap mereka tersepak tunggul, jatuh tertiarap, muka menyembah bumi, misai terkena lumpur dan mulut dimasuki pasir.

Wallahuaklam.

Share on Myspace