MB serah kunci lima lagi rumah mangsa banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: YAB Menteri Besar Kelantan telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Taman Firdaus Kg Berlian, Mukim Kok Keli Tumpat.

Sebanyak lima unit rumah kekal telah diserahkan kepada penerima masing-masing. Rumah kekal tersebut telah dibina oleh PKINK melalui anak syarikatnya Kelkon Sdn Bhd.

Dengan penyerahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan rumah kekal yang telah didiami ialah sebanyak 378 unit daripada jumlah keseluruhan 720 unit.

Jumlah tersebut adalah hasil pembinaan yang telah diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan NGO.

Sebanyak 47 unit rumah kekal di tiga kawasan iaitu Machang, Tumpat dan Pasir Mas telah siap sepenuhnya dan telah diduduki.

Di Kota Bharu masih terdapat lima unit yang dalam prapembinaan daripada jumlah 16 unit kesemuanya. Sementara di Gua Musang dan Kuala Krai, ada rumah-rumah yang telah siap namun belum boleh diduduki kerana kerja-kerja infrastruktur sedang dijalankan umpamanya sebanyak 44 unit rumah di Mukim Pulai.

Kerajaan Negeri sebelum ini melalui kenyataan rasmi YAB Menteri Besar akan menyiapkan sejumlah 600 unit rumah kekal kepada semua mangsa banjir yang rumah mereka rosak keseluruhannya.

Baki rumah kekal yang lain akan disiapkan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan sebagaimana dalam persetujuan yang telah diambil. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace