Rakyat marah tambang ERL, LRT, Monorel, Komuter naik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan dalam membenarkan kenaikan tambang ERL, LRT, Komuter dan Monorel hingga 50% sangat mendukacitakan.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, rakyat terus marah dan mempersoalkan kewajaran kenaikan mendadak tersebut.

Katanya, alasan ERL bahawa kenaikan itu perlu kerana sejak April 2002 tiada kenaikan dan kerugian berkumpul telah sebanyak RM671.7 juta adalah tidak dapat diterima.

"Kenapa kenaikan tambang 4 pengangkutan ini dibuat hampir serentak dan pada kadar yang sangat tinggi?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pula kerugian berlaku terhadap satu perniagaan yang sebenarnya kosong risiko, pelaburan melibatkan bilion duit rakyat dan dikenakan pula kepada rakyat untuk menanggungnya.

Tambahnya, di Sao Paulo Brazil, akibat kenaikan tambang bas, ratusan ribu rakyat Brazil telah bangkit melakukan protes.

"Saya gesa Polis, SPRM, SPAD, KDNKK dan Ketua Audit Negara melakukan siasatan terhadap kesemua 4 pengangkutan utama yang telah menaikkan tambang secara melampau dan serentak ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace