RM2.6b: Jawapan Zahid tidak menjawab persoalan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Penjelasan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang dana RM2.6 bilion di Parlimen semalam sebenarnya tidak menjelaskan apa-apa, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, penjelasan Zahid itu juga tidak boleh membantu merungkaikan segala kekalutan, kekusutan dan keraguan rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu penerimaan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau.

"Penjelasan ringkas Zahid yang tiada penjelasan, betulkah RM2.6 bilion itu derma dan siapakah penderma," soal Mahfuz.

Bahkan katanya, penjelasan yang tanpa menjelaskan itu sebenarnya terus meninggalkan persoalan demi persoalan yang cenderung mengesyaki bahawa Najib Tun Razak melakukan kesalahan rasuah dan salahguna kuasa menerima suapan daripada pihak yang menjadi rahsia.

"Apakah TPM sengaja memberikan penjelasan yang bertujuan untuk Najib terus dipersoalkan rakyat? Apakah ini juga sebagai isyarat untuk perwakilan Umno pada PAU minggu depan jangan menjadi tunggul sebaliknya menekan Najib untuk berundur daripada jawatan Presiden Umno dan PM? Semua ini terus menjadi tanda tanya di sebalik rahsia besar Skandal RM2.6 bilion.

"Apa pun terima kasih kepada TPM Datuk Zahid di atas penjelasan isu RM2.6 bilion yang terus menambah persoalan tanpa penyelesaian," jelas Mahfuz.

Semalam, Zahid Hamidi menjelaskan semuanya mengenai dana RM2.6 bilion itu dalam masa tiga minit.

Menurut beliau dana di akaun bank Najib itu kini masih dalam siasatan dan menjadi perkara yang subjudis jika ia dibincang kepada awam.

Beliau berkata, siasatan berhubung isu itu juga dijalankan dengan bebas oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace