Caj parkir di hospital undang kemarahan rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Akhirnya kerajaan menyedari permasalahan tempat letak kereta di hospital semakin meruncing sehingga kerajaan bertindak mahu mengenakan caj tempat letak kereta.

Bagaimanapun tindakan kerajaan mengenakan caj tempat letak kereta mengudang kemarahan rakyat khasnya mereka yang berpendapatan rendah.

Menurut Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian bagi menangani masalah tempat letak kereta melainkan dengan mengorek wang saku rakyat.

Pengerusinya Dr Rosni Adam menyifatkan pengumuman Kementerian Kesihatan itu menampakkan kerajaan sudah ketandusan idea dan gagal untuk melihat lebih jauh akan isu yang mendasar.

"Kesesakan tempat letak kereta kenderaan hanyalah petanda kepada masalah yang lebih kronik. Ia adalah manifestasi kelemahan perancangan bandar yang rakus merobek setiap inci ibu kota serta natijah pendekatan populis terhadap hala tuju sistem kesihatan negara.

"Walhal, hakikatnya adalah masalah ini perlu ditangani dengan berhemah melalui pendekatan yang bersepadu oleh semua pihak terutamanya kerajaan dan termasuklah rakyat sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Beberapa langkah boleh dipraktikan bagi menangani masalah itu antaranya, mewujudkan bentuk komunikasi berkesan di antara perkhidmatan perubatan hospital dan perkhidmatan kesihatan komuniti iaitu klinik desa, klinik kesihatan, klinik 1 Malaysia serta klinik swasta, ia selaras dengan kementerian yang mahu memperkasakan konsep doktor keluarga.

"Seandainya pesakit dimasukkan ke hospital, rawatan seterusnya akan dipanjangkan secara khusus kepada doktor peribadi tersebut di komuniti.
 
Kerajaan perlu mewujudkan sistem yang membolehkan doktor di hospital dan di komuniti saling berganding bahu bagi memastikan rawatan perubatan dapat diberikan dengan berkesan, berterusan dan sesuai dengan keadaan sosioekonomi pesakit tersebut.

"Dengan itu, walaupun pesakit tidak hadir secara fizikal, namun rawatan yang diberikan di komuniti adalah optimum persis rawatan pakar di hospital," katanya.

Kedua, tambahnya, setelah memastikan pesakit diberi temujanji sewajarnya mengikut keperluan masing-masing sama ada di hospital atau di komuniti, maka temujanji tersebut perlulah diberi secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan melicinkan perjalanan klinik.

Jelas beliau rakyat Malaysia sudah biasa dengan fenomena temujanji pukul 9 pagi, namun sesi berjumpa doktor pula jam 12 tengah hari dan pukul 4 petang baru selesai ambil ubat.

"Pendapatan bulanan perlu dikira siap-siap untuk tambang perjalanan ke hospital semata-mata. Ini harus diubah.
 
Kerajaan perlu memastikan sistem temujanji berperingkat ataupun ‘staggered appointment’ benar-benar dilaksanakan di semua klinik dan hospital kerana temujanji kepada pesakit adalah satu komitmen kepada kesihatan dan kualiti hidup mereka.

"Setiap temujanji perlu diberikan dengan penuh kebertanggungjawaban dan kesediaan untuk menyediakan sesi rawatan yang berkualiti. Temujanji yang berkesan serta rancangan rawatan yang jelas dan berkesinambungan mampu untuk mengurangkan lawatan pesakit ke hospital, sama ada untuk temujanji ataupun kerana kecemasan," ujar beliau.

Ketiga tegasnya, meskipun masalah letak kereta adalah dilema sejagat namun negara maju mengambil pendekatan yang kreatif bagi memastikan keselesaan kakitangan dan rakyatnya.

Di United Kingdom (UK) contohnya, National Health Services (NHS) membuat kajian rapi terhadap pola dan corak perjalanan kakitangan dan pesakit ke hospital.

"Maklumat tersebut digunakan bagi mereka bentuk rancangan perjalanan (travel plan) yang berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping menjamin kehijauan alam sekitar serta menggalakkan budaya hidup sihat.

"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan UK terhadap pembangunan lestari.

Intipati kepada usaha tersebut adalah bermaksud untuk memaksimumkan perkongsian kenderaan, menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam, laluan khas dan selamat untuk pejalan kaki atau berbasikal, menggunakan persidangan maya bagi tujuan mesyuarat serta mewujudkan kerjasama di kalangan masyarakat dan kumpulan sokongan pesakit sebagai penyelesaian bersama kepada masalah kesesakan di lokaliti masing-masing," katanya.

Kesemua ini katanya, menuntut keinginan dan kesungguhan daripada pihak pentadbir, kakitangan hospital, pesakit dan pelawat, namun ia tidaklah mustahil selagi mana semua pihak jelas akan matlamat yang lebih besar demi kebaikan semua.

"Sebagai permulaan contohnya pastikan semua bas dan tren mempunyai kemudahan untuk pesakit berkerusi roda," katanya.   
 
Keempat, tambahnya, adalah dicadangkan agar kadar bayaran yang bakal dikenakan perlulah mengikut kesesuaiannya.

"Contohnya bagi kes kecemasan percuma, temujanji pesakit luar dikenakan separuh harga manakala pelawat dikenakan bayaran penuh. Juga, faktor sosioekonomi pesakit perlulah diambil kira.

 "Apapun, kajian yang lebih menyeluruh adalah amat penting bagi mengenal pasti kaedah penyelesaian yang terbaik. Masalah parkir bukanlah remeh. Ia adalah pengukur ketelusan dan komitmen kerajaan dalam menangani masalah seharian yang dialami oleh rakyat," ujarnya.

Justeru, tegas Dr Rosni, peningkatan tambang perkhidmatan awam yang mengundang sengsara kepada rakyat haruslah membawa kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti.

"Janganlah hanya kerana ingin menyelamatkan periuk nasi kroni, rakyat tidak mampu lagi untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace