KPT diminta fokus isu graduan pendidikan

NASRUDIN HASSAN | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi perangkaan unjuran jumlah purata kekosongan jawatan guru menjelang tahun 2020. Hal ini bagi memastikan penawaran jumlah semasa graduan dan pelajar ijazah pendidikan dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi adalah selari dengan permintaan.

Berdasarkan anggaran peruntukan perbelanjaan 2016, hampir semua universiti awam di Malaysia mengunjurkan peningkatan enrolmen dan pengambilan pelajar baru pada tahun 2016 kecuali Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berlaku penurunan sekitar 20 peratus bagi kedua-dua statistik tersebut.

Sebelum ini, isu lambakan graduan pendidikan telah disuarakan sejak tahun 2010. Antaranya, pada tahun 2012, Naib Canselor UPSI pernah mendakwa seramai 13,000 graduan yang mengajar subjek sains dan matematik telah dihantar semula ke universiti untuk dilatih semula dalam subjek yang lain bagi mengelakkan pengangguran.

Begitu juga isu graduan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang mengalami masalah penempatan mesti turut diberikan perhatian penting.

Jika graduan pendidikan di IPTA pun sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan, bagaimana pula nasib graduan-graduan dari IPTS?

Oleh hal yang demikian, kerajaan harus memberikan unjuran yang permintaan yang tepat dalam hal ini. Kita tidak mahu para mahasiswa dan graduan aliran ini mengalami masalah pengangguran yang serius termasuk masalah ‘missed match’ dalam penawaran. – HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace