Insya Allah, Kelantan kekal bawah kepimpinan ulama

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: “Pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, Kelantan kita kekalkan di bawah kepimpinan ulama diterajui PAS, insya Allah,” ujar Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, katanya ‘cetusan konvensyen’ politik Umno negeri ini sebagai satu isyarat bahawa Umno bersungguh-sungguh untuk menawan Kelantan.

“Namun kita yakin dengan perjuangan kita. Bahkan rakyat khususnya pendukung PAS sangat memahami keadaan isu semasa, dan meneruskan perjuangan serta sokongan mereka sehingga 25 tahun kini bersama PAS, memerintah Kelantan.

“Dan kita yakin bahawa perjuangan kita bukan atas asas peribadi, tetapi atas asas yang dikehendaki Allah swt.  Benda benar tetap benar,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan ketika ditemui media pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Mengenai hasrat Pengerusi Umno Kelantan mahu menjadikan PRU14 ‘Kelantan milik Umno’, beliau berkata sebenarnya mereka patut sedar diri.

“Apabila mereka mendakwa kita ada ‘penyakit’, namun mereka pun ada ‘penyakit’ juga, bahkan lebih berat lagi.

“Sembuhkan penyakit itu dahulu, kemudian kita sama-sama berjuang.

"Ini demokrasi, tiada masalah, dan seterusnya terserahlah kepada rakyat memilih parti mana memerintah Kelantan pada PRU14 nanti,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace