Islam agama rasmi, hak jururawat menutup aurat

AHMAD MARZUK SHAARY | .

Insiden seorang jururawat dipaksa memakai pakaian tidak menutup aurat, kemudian dibuang kerja dan dikenakan amaran kompaun sebanyak RM5,000 amatlah mendukacitakan.

Ianya berlaku di sebuah negara, yang Islam merupakan agama rasmi persekutuan.

Ini menunjukkan bahawa undang-undang sedia ada masih lemah dan gagal memelihara hak hak wanita Islam untuk menjaga aurat mereka.

Padahal di negara barat telah berlaku perkembangan yang memberikan hak kepada muslimah untuk memakai pakaian menutup aurat.

Mahkamah Perlembagaan Jerman telah memberi keizinan kepada permohonan seorang guru untuk menutup aurat.

"Ini merupakan hari yang terbaik untuk kebebasan beragama,” kata Volker Beck, seorang Ahli Parlimen daripada parti pembangkang, Greens, yang menyokong penuh keputusan berkenaan.
 
Saat berkhidmat di Hospital USM Kubang Kerian, saya sendiri bersama rakan-rakan telah memperjuangkan selama hampir 10 tahun konsep Hospital Mesra Ibadah.

Antara intipati pentingnya adalah aurat perawat dan pesakit.

Jururawat muslimah dibolehkan ketika SOP tertentu menyingsing lengan baju, namun bukan sepanjang masa berlengan pendek. Ini melanggar prinsip aurat dalam Islam.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Justeru itu saya mengesyorkan:
1) Kerajaan mengambil Naziah Sauni Samat dan mana-mana jururawat yang dibuang kerja untuk berkhidmat dengan kerajaan.

2) Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang memaksa  pekerjanya tidak menutup aurat.

3) Kerajaan mengeluarkan Garis Panduan Pakaian Menutup Aurat sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

4) Membuat perubahan kepada setiap pakaian seragam agensi kerajaan dan syarikat milik negara, agar ia benar-benar memenuhi kehendak syariat, terutamanya bagi jururawat wanita, polis wanita dan pramugari.

5) Meminda undang-undang bagi membenarkan pekerja menutup aurat, tanpa apa-apa halangan daripada majikan serta mengenakan hukuman denda dan penjara kepada mana-mana majikan yang memaksa pekerja tidak menutup aurat.

Apakah benar tidak hadir kerja selama dua hari sebagai punca pemecatan yang sangat mendesak atau sengaja mencari alasan untuk menghalalkan tindakan?

Saya sendiri akan menghubungi atau berjumpa dengan pihak pengurusan hospital dan Menteri Kesihatan untuk serahkan memo bantahan serta mendapat penjelasan. Insya Allah. - HARAKAHDAILY 6/12/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Bachok.

Share on Myspace