Tuduhan IS: PAS Perak lapor polis

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

 

IPOH: PAS Negeri Perak telah membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan IS di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, semalam 5 Disember.

Laporan tersebut telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dengan tujuan mempertahankan PAS dari tuduhan yang berunsur fitnah serta ingin memberikan persepsi buruk kepada PAS itu.

Razman berkata, cubaan PAN tersebut hanya untuk melemahkan PAS dan menunjukkan parti itu terdesak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Jelasnya, Mat Sabu yang pernah ke Parlimen di atas tiket PAS selayaknya memahami PAS, bahkan beliau juga bekas Timbalan Presiden PAS sebelum ini.

"Laporan ini dibuat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan melalui portal berita The Malaysian Insider dan Sin Chew Dailly bertajuk "Amanah Ditubuh Kerana PAS Diresapi Pemikiran ISIS kata Mohamad Sabu".

"Berdasarkan laporan berita tersebut,  Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, Parti Amanah Negara ditubuhkan kerana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

"Polemik yang dicetuskan oleh beliau berkaitan dengan keselamatan dan polisi negara," terangnya sejurus laporan dibuat.

Turut serta bersamanya ketika laporan dibuat, Setiausaha Perhubungan PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan; Bendahari PAS Perak, Mohd Dahalan Ismail; Jawatankuasa Lajnah Perpaduan PAS Perak, Sum Siok Ling dan beberapa pimpinan lain. – HARAKAHDAILY 6/12/2015

Share on Myspace