Penduduk miskin sukar dapat bantuan rumah

JOFRI JARAIEE | .

Kerajaan telah menyediakan program bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa berbanding tempat kediaman mereka terdahulu.

Matlamat program ini ialah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup golongan sasar.
 
Masalahnya sekarang ini adakah program ini mencapai matlamat untuk golongan sasar yang amat memerlukan rumah yang selesa untuk kehidupan mereka sekeluarga.  

Kita dapati masih ramai golongan miskin dan kurang berkemampuan tidak memiliki rumah sendiri yang selesa terutama di kawasan luar bandar.
 
Rumah adalah tempat tinggal yang amat diperlukan oleh setiap insan, tanpa rumah yang selesa dan selamat boleh menimbulkan masalah sosial dalam kalangan rakyat terutama mereka yang kurang mendapat pendidikan dan perhatian dari pihak berkuasa.
 
Salah seorang penduduk di Kampung Bakam, Miri mengadu kepada pihak kami yang beliau sudah beberapa kali memohon bantuan rumah tetapi sehingga kini masih belum diluluskan lagi.

Apabila beliau bertanya dengan pihak yang berkenaan alasan yang diberikan adalah tunggu giliran, tetapi yang peliknya ialah mengapa pemohon baru boleh mendapatkan lebih cepat manakala dia telah memohon awal dari itu tidak dilayan oleh pihak yang berkenaan.
 
Johan Raup salah seorang penduduk di Kampung Bakam yang memiliki 6 orang anak terpaksa tinggal dalam pondok atau rumah papan yang sempit untuk meneruskan kehidupan seharian bersama keluarganya.

Beliau merasakan sesuatu yang tidak kena dengan cara pihak yang berkenaan mengendalikan program tersebut seolah-olah ada pilih kasih terhadap keluarga yang amat memerlukan tempat tinggal yang selesa.

Beliau yang bekerja sendiri dengan pendapatan yang sekadar cukup untuk menampung kehidupan seharian keluarga beliau.
 
Rumah papan beliau yang kecil itu menempatkan 8 orang dengan menggunakan kayu papan dan zink untuk dinding dan bumbung juga bocor.

Beliau amat memerlukan sebuah rumah baru yang selesa dan selamat untuk menempatkan keluarganya yang semakin ramai dan membesar itu.

Beliau juga mengharapkan masalah beliau mendapat perhatian dari pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera membuat rumah baru untuk beliau sekeluarga.
 
Kita menggesa pihak berkuasa dan mereka yang diamanah oleh rakyat supaya dapat memberi bantuan segera keatas keluarga Johan dan mereka yang amat memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.  

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat sepatutnya masalah ini dapat diatasi dengan segera kerana semua peruntukan untuk program bantuan rumah untuk rakyat, kita yakin sudah diluluskan oleh kerajaan persekutuan.
 
Kita harap pihak yang berkenaan boleh menyemak semula pemohonan Johan dan perlu diberi perhatian segera kerana keadaan rumah beliau memang kurang selamat untuk tempat tinggal keluarga yang ramai.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini amat dihargai. - HARAKAHDAILY 7/12/2015
 
Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak juga Yang Dipertua PAS Miri.

Share on Myspace