Najib jamin yuran universiti tak naik, satu tragedi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam berjanji tidak akan menaikkan yuran universiti di negara ini.

"Walaupun PAS mengalu-alukan cadangan itu, tetapi sebenarnya cadangan itu adalah satu tragedi untuk menutup pelbagai kenaikan yang lain," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, para pelajar di kota kini berdepan dengan kenaikan harga buku, harga pengangkutan awam, harga makan dan kenaikan saman di sekitar universiti.

Menurutnya, kenyataan Najib itu memperlihatkan bahawa beliau kini terpisah daripada realiti kesusahan rakyat bawahan dan pelajar marhaen.

Beliau berkata, pengumuman tidak menaikkan yuran universiti tidak dapat menutup penarikan pelbagai subsidi daripada rakyat.

Tambahnya, semua yang dijanjikan sehingga kini tidak berlaku.

"GST tidak mengurangkan harga barangan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pengurangan subsidi juga tidak mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM623.3 bilion.

"Menteri BN mengatakan Malaysia tidak akan bankrap, tapi jika BN terus memerintah nescaya ramai rakyat dan pelajar yang bankrap sebelum masanya," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 7/12/2015

Share on Myspace