Datuk Bandar KL jangan sombong dengan rakyat

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DEWAN Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemuda Wilayah) mengingatkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz agar tidak terlalu sombong apabila berhadapan dengan rakyat. Keengganan beliau untuk bersemuka dengan penduduk Keramat yang membantah projek pembinaan ditanah 1.82 ekar di Bukit Keramat (HSD 119648 Lot PT 9902 Jalan Padang Tembak) sangat dikesali.

Sebagai penjawat awam dan pekerja rakyat beliau seharus terbuka dan tidak angkuh untuk mendengar suara denyut nadi rakyat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukanlah syarikat persendirian milik beliau, tapi agensi kerajaan milik rakyat.

Dan penjualan tanah DBKL milik rakyat di Bukit Keramat itu kepada pihak swasta tanpa persetujuan rakyat adalah satu pecah amanah. Harga jualan RM 16,207,400.00 atau RM204 sekaki persegi sangat murah jika dinilai dari kedudukan tanah itu yang berada dalam lingkungan pusat bandar Kuala Lumpur.

Pemuda Wilayah juga difahamkan yang pemaju hanya membayar 10% bagi mendapatkan tanah berkenaan sehingga ke hari ini dan baki lain masih belum dijelaskan.

Pemuda Wilayah juga yakin bahawa DBKL tidak menerima jumlah wang RM16.2 juta itu secara tunai tetapi sebahagian besarnya digunakan bagi menampung kos subsidi yang ditanggung bagi membolehkan 274 unit rumah dengan keluasan 800 kp dijual dengan harga RM198,000.00.

Dan pemaju diberi kebebasan mutlak untuk menjual baki 274 unit dengan keluasan 1000kp dengan harga RM560,000.00 ke atas dengan kuota 70% Bumiputra, 20% Cina,10% India. Apa yang pasti, tanah itu bukan lagi milik DBKL dan rakyat selepas itu!

Kos pembinaan dan tanggunggan DBKL dijangka lebih murah jika projek pembangunan ini diserah kepada agensi milik kerajaan yang lebih berpengalaman seperti  UDA, SPNB, PR1MA dan lain-lain agensi.

DBKL dengan keras kepalanya menolak pelawaan Syarikat UDA Holding Berhad melalui surat bertarikh 4 November 2015 untuk membangunkan projek berkenaan yang menjanjikan 100% Perumahan Wilayah Persekutuan mampu milik dengan harga RM199,000 bagi 800kp dan bukannya lot bercampur seperti yang ditawarkan oleh pemaju.

DBKL nekad menjual terus tanah berkenaan kepada pemaju tetuan Era Ecoland Sdn. Bhd. Dan menjadi tanda tanya kalangan penduduk kerana DBKL sanggup mengambil risiko menjual projek berkenaan kepada syarikat ini yang baru ditubuhkan pada November 2014, iaitu beberapa hari selepas DBKL menerima hak milik tanah dari Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Seharusnya DBKL mengutamakan syarikat besar yang lebih berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi memastikan projek ini dapat berjalan dengan sempurna.

Bagi Pemuda Wilayah, apa yang penting dalam isu ini adalah sikap Datuk Bandar sendiri yang dilindungi oleh Menteri Wilayah dalam menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh penduduk.

Janganlah terlalu sombong dan angkuh kerana kamu mempunyai jawatan yang besar. Sedangkan kamu tahu, jawatan itu adalah bersifat sementara. Hak-hak dan suara rakyat perlu didengar dan perbincangan terperinci perlu dibuat secara terbuka agar rakyat faham hasrat DBKL serta tidak merugikan mana-mana pihak.

Penyelesaian perlu ada, pembangunan perlu dibuat kerana rakyat sesekali tidak pernah menolak pembangunan. Tetapi janganlah terlalu tamak hingga mengadaikan aset rakyat dan kepentingan bumiputra Melayu di Keramat.

Pemuda Wilayah bersama penduduk hanya mahukan jawapan dan satu konsensus agar semua pihak jelas tentang masa depan tanah 1.82 ekar ini. Justeru, Pemuda Wilayah menawarkan diri untuk menjadi perantara antara penduduk dan DBKL untuk duduk semeja bagi mendapatkan penjelasan dan merungkaikan kerisauan penduduk.

Satu persatu tanah DBKL dijual kepada swasta atas alasan DBKL tidak mampu melaksanakan projek berkenaan. Ini sangat memalukan kerana setiap tahun DBKL mengutip cukai berbillion dari poket rakyat tetapi masih mahu berlakon sebagai “orang miskin”.

Bila mahu menjual tanah rakyat mereka terus mendada mengangkat muka seperti “tuan besar” kepada rakyat. Pemuda Wilayah memerhati secara dekat tanah-tanah yang dijual oleh DBKL selain dari di Bukit keramat ini.

Kita tidak lupa pada tanah-tanah di Kampung Chubadak, Pekeliling, Jalan Kuching dan lain-lain. Satu persatu telah dan ingin digadai hingga suatu hari nanti di Kuala Lumpur ini DBKL terpaksa merempat dan menyewa bangunan milik swasta. Mungkin bila dah menjadi begitu barulah mereka akan puas hati! – HARAKAHDAILY 7/12/2015

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Share on Myspace