Apakah Zahid Hamidi mahu Muhyiddin dipecat?

SHAHBUDIN HUSIN | .

MESYUARAT khas MT pada 9 Disember ini bukan saja akan memutuskan sama ada Muhyiddin Yassin dapat berucap atau tidak dalam majlis penggulungan Perhimpunan Agung Umno tahun ini, tetapi juga dijangka bakal menentukan kedudukannya dalam parti.

Ada perkhabaran mengatakan, jika dalam dua mesyuarat MT sebelum ini beliau terlepas daripada sebarang tindakan, hukuman pasti menanti Muhyiddin pada mesyuarat 9 Disember nanti yang akan menghalangnya terus daripada menghadiri perhimpunan itu.

Beliau dikatakan sama ada akan dipecat atau digantung keahlian Umnonya.

Dengan memecat atau menggantung keahliannya, keperluan untuk Muhyiddin berucap di majlis penggulungan secara automatik tidak berbangkit lagi.

Tindakan Muhyiddin mengadakan perhimpunan untuk menyampaikan amanatnya di Kelab Sultan Sulaiman sebagai ganti tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini dikatakan menjadi sandaran utama terhadap pemecatan atau penggantungan itu.

Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai tidak mematuhi arahan parti yang menyetujui perasmian sayap-sayap dilakukan oleh ketua masing-masing.

Bersama Muhyiddin, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno, Shafie Apdal juga dijangka akan diambil tindakan pecat atau gantung keahlian itu.

Tun Mahathir dipercayai diambil tindakan kerana tindakan berterusannya menyerang Najib, baik dalam ucapan mahupun penulisan di blog, manakala Shafie kerana sikap dan pendiriannya yang tidak jauh berbeza dengan Muhyiddin.

Melalui tindakan terhadap Tun Mahathir juga akan menghalang kehadiran bekas Perdana Menteri itu dalam Perhimpunan Agung Umno tahun ini dan sekaligus memberi kelegaan kepada Najib untuk menyampaikan ucapan perasmiannya dengan lancar tanpa perlu memandang wajah pengkritik utamanya itu.

Lebih meyakinkan pemecatan atau penggantungan terhadap mereka itu ialah berikutan nada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi semalam yang nyata amat berbeza sekali.

Dalam interbiunya dengan Malay Mail, Zahid melahirkan keyakinan bahawa Umno tidak akan mengalami perpecahan yang serius jika tindakan diambil terhadap pengkritik Najib.

Katanya, Umno sudah pernah mengalami perpecahan sebelum ini tetapi kemudiannya bersatu kembali.

"Sama ada Muhyiddin dan Shafie digantung atau dibuang, setiap orang harus menerima keputusan pemimpin atasan. Ia bukan keputusan individu, tetapi dibuat oleh MT berdasarkan apa yang terbaik untuk parti," tambahnya lagi.

Jika dihalusi, pendirian terbaru Zahid ini amat berbeza dengan beberapa kenyataannya sebelum ini yang bukan saja menafikan Muhyiddin dan Shafie akan diambil tindakan, bahkan juga mahu kedudukan kedua-dua pemimpin itu terus dihormati.

Tetapi, mengapa kenyataan Zahid kali ini agak berbeza?

Apakah ini menunjukkan Zahid sekarang bukan saja mulai bersetuju dengan pemecatan atau penggantungan itu, bahkan lebih mahukan ia berlaku?

Dalam masa yang sama, apakah ia didorong oleh kemahuan untuk melindungi kedudukan Najib atau demi masa depan politiknya sendiri? - shahbudindotcom.blogspot.my/

Share on Myspace