Jangan bangga kutipan zakat tinggi jika rakyat menderita

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Hasil kutipan zakat tinggi tidak boleh dibanggakan jika ia tidak mampu mengupayakan umat Islam terutama golongan asnaf, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempunyai cabaran besar untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi ummah berdasarkan kehendak syariat.

“Angka sahaja tidak mencukupi, kejayaan kita mengutip zakat dengan jumlah besar harus dihargai tetapi cabaran besar adalah bagaimana wang zakat dapat mengupayakan umat Islam.

“Kita harus memastikan kumpulan asnaf ditetapkan hukum syarak menerima manfaat wang zakat dan mengangkat martabat mereka,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian pada Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam hari ini.

Azmin menambah, meskipun hampir 60 tahun negara merdeka dengan pelbagai istilah ekonomi dikeluarkan atas nama pembangunan, namun masih ramai yang mengalami kesempitan hidup.

Katanya, pembangunan, pertumbuhan, ekonomi yang tinggi tidak memberi makna jika masih ramai menderita atas nama pembangunan.

“Apakah kita sudah bersedia menghadapi hukuman Allah SWT apabila diberi amanah dan tanggungjawab kita cuai, terlepas pandang, leka dan lebih parah apabila kita melakukan rasuah dan salah guna kuasa untuk menekan dan menzalimi rakyat.

“Ini persoalan yang harus saya tanya kepada diri kita semua selaku pentadbir dalam kerajaan negeri,” katanya.

Share on Myspace