Mengapa SPRM tidak umum penderma RM2.6b?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan sudah bertemu dengan penderma yang memasukkan wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan persoalan kenapa tidak diumum siapa penderma tersebut? soal Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Soalnya juga, mengapa begitu sukar untuk SPRM dan Najib Tun Razak untuk memberitahu umum nama dan negara asal penderma RM2.6 bilion itu.

Bahkan katanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam penjelasan di Parlimen dalam tempoh tiga minit tidak menyebut nama penderma RM2.6 bilion tersebut.

"Jadi dari mana rakyat boleh dapat tahu dan bila rakyat nak diberitahu?

"Persoalan pokok di sini bukan sekadar nama penderma tetapi isu besarnya ialah penerima dan jumlah wang RM2.6 bilion yang diterima dalam akaun peribadi penerima iaitu  Perdana Menteri Malaysia," soal beliau lagi.

Katanya, jika wang tersebut untuk Umno atau negara kenapa dimasukan ke dalam akaun peribadi dan perkara ini  mesti diperjelaskan oleh SPRM yang melakukan siasatan.

"Persoalan pokok juga ialah ke mana wang tersebut diguna dan dibelanjakan oleh PM Najib selepas dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau? Berapa jumlah yang belanjakan dan berapa baki wang tersebut? Adakah baki wang tersebut masih berada dalam negara dan di dalam akaun siapa dan bank mana baki tersebut berada? Ini semua mesti dijawab oleh SPRM yang menjalankan siasatan," ujar Mahfuz.

Justeru katanya, SPRM juga wajar memberi jawapan kepada siasatan iaitu apakah motif derma tersebut disalurkan ke akaun peribadi Najib sebaliknya bukan sekadar memberi kesimpulan kepada rakyat bahawa SPRM sudah bertemu dengan penderma tersebut.

"Janganlah pada waktu rakyat mula simpati, hormati dan percayai, SPRM pula bertindak untuk melindungi. SPRM adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2015

Share on Myspace