Bukan setakat khalwat, syariat pun G25 tentang

ABDUL HISHAM OTHMAN | .

SAYA merasa dukacita dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Noor Farida yang mewakili kumpulan G25. Mutakhir ini terdapat banyak desakan dan komen-komen negatif yang dilontarkan oleh mereka yang jahil berkenaan Islam terhadap Islam, amalan dan umat Islam itu sendiri.

Dalam isu khalwat yang diutarakan oleh G25, mereka berpaksikan kepada hak asasi manusia, malangnya G25 barangkali terlupa bahawa undang-undang atau hukum yang mereka sentuh itu berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang Islam.

Maka setiap orang Islam tertakluk kepada hak dan undang-undang Islam. Saya tidak mengatakan undang-undang syariah yang sedang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan agama di Malaysia ini adalah menifestasi kepada undang-undang yang Allah turunkan melalui al-Quran tetapi selagi hukum di dalam al-Quran belum dapat dilaksanakan maka menjadi tanggung jawab kerajaan untuk memastikan satu undang-undang diwujudkan bagi mengawal kesalahan-kesalahan yang mungkin dilakukan oleh umat Islam.

Atas dasar itulah saya melihat Datuk Noor Farida yang membawa suara bekas kakitangan awam (G25) sebenarnya telah mencerobohi hak asasi umat Islam di Malaysia.

Apakah G25 hanya melihat hak asasi segelintir penganut Islam yang mahu merobohkan benteng keimanan mereka namun gagal melihat hak asasi majoriti umat Islam yang mahu mempertahankan keimanan seluruh umat sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Apakah G25 buta untuk melihat bahawa mereka yang dilahirkan dalam keluarga Islam tertakluk kepada hak dan peraturan-peraturan Islam. Islam melarang sama sekali umatnya mendekati pintu-pintu perzinaan apatah lagi melakukannya.

Malah hukuman terhadap orang yang melakukan zina dalam Islam termasuklah disebat sehingga seratus kali dan jika sudah berkahwin direjam sampai mati.

Apabila PAS mahu melaksanakan hudud untuk mencegah jenayah manusia kepada Allah. Mereka juga yang menyanggahnya dengan pelbagai bicara derhaka. Tujuan hudud adalah untuk mencegah dan memberi keadilan kepada hak manusia dan hak Allah.

Anehnya makhluk manusia yang Allah ciptakan ini, sedangkan belakang kepala sendiri gagal untuk dilihat oleh biji mata yang terletak di kepala berani lagi menyanggah dan menderhakai Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta isi antara kedua-duanya.

Mengikut edisi keempat kamus dewan, khalwat bermaksud berdua-duaan ditempat terpencil atau tersembunyi, antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bukan pula suami isteri yang boleh menimbulkan fitnah dan dianggap sebagai satu perbuatan yang sumbang.

Saya ingin bertanya kepada Datuk Noor Farida dan G25. Adakah melakukan sesuatu perbuatan sumbang yang boleh membawa kepada perzinaan, kemungkinan boleh menyebabkan mengandung anak luar nikah. Kemungkinan boleh menyebabkan si lelaki meninggalkan wanita yang mengandung itu sendirian. Kemungkinan wanita yang mengandung tadi menggugurkan kandungan dan menyebabkan ia mati. Kemungkinan wanita itu mengambil jalan singkat membuang bayi hasil hubungan perzinaan itu di jalanan.

Adakah hak asasi ini yang kamu perjuangkan. Adakah kamu akan membenarkan anak dan cucu kamu juga berada dalam situasi ini atau kamu hanya mahu hak ini kepada orang lain tetapi akan melarang anak atau cucu kamu dari melakukannya.

Saya mengambil kesempatan ini sebagai satu daripada dakwah saya, berpalinglah daripada menjadi pengikut hawa nafsu yang tidak mengenal Allah dan berpeganglah dengan apa yang Nabi SAW tinggalkan kepada kita.

Janganlah berkerja, berbicara malah berfikir untuk meruntuhkan Islam atas apa nama sekalipun. Tiada apa yang berada pada tubuh manusia itu haknya melainkan dipinjamkan oleh Allah sebagai ujian semata-mata. Hak yang sebenar adalah apabila anak adam itu mampu mematuhi hak Allah. – HARAKAHDAILY 8/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah

Share on Myspace