Kelantan sebagai 'the land of Dinar'

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Pelaksanaan mata wang syariah dapat membebaskan masyarakat daripada amalan riba kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Selain itu mata wang syariah dapat menyelamatkan ummah kerana kalis inflasi.

Oleh itu, katanya kerajaan negeri terus komited merealisasikan pembangunan mata wang syariah di negeri ini.

“Dinar diharap dapat digunakan dalam masyarakat biar pun bukan sebagai mata wang sekarang, namun ia boleh dijadikan hadiah dan urusan perkahwinan,” katanya selepas pelancaran Dinar Emas dan Wafer di Kota Darulnaim petang semalam.

Mata wang syariah itu dilancarkan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pada Oktober 2010. Dan semalam sekali lagi kerajaan negeri melancar Dinar dan Wafer edisi baru.

Menteri Besar juga berkata Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Kelantan Golden Trade (KGT) melakukan penyelidikan termasuk aspek keselamatan Dinar dan Dirham.

Katanya Dinar, wafer dan Dirham kini dilengkapkan sijil ketulenan yang disahkan, selain mempunyai nombor siri bagi mengesan pergerakannya di pasaran.

Kata Ustaz Ahmad penggunaan wafer bertujuan memberi peluang kepada pembeli yang belum mampu membeli Dinar.

“Hasrat kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai ‘the land of Dinar & Dirham. Setelah lima tahun menyelidik kini diperkenalkan wafer emas,” ujarnya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menetapkan dasar pelombong emas di negeri ini perlu menjual emas kepada KGT tidak melebihi 30 peratus daripada jumlah hasil yang diperoleh. – HARAKAHDAILY 8/12/2015

Share on Myspace