PAS tidak akan jadi penyelamat Umno BN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS kekal dengan dasar Islam yang bercanggah dengan dasar pragmatism dan nasionalisme yang menjadi dasar perjuangan Umno.

"Tidak mungkin PAS akan bekerjasama dengan Umno yang sejak ditubuhkan sehingga kini masih menjalankan penindasan dan kezaliman kepada ahli dan kepimpinan PAS," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Kelantan terus ditekan sehingga hasil petroleum disedut namun royalti yang ditandatangani terus dinafikan.

Tambah beliau, Terengganu pada saat PAS menang terus dinafikan hak royalti.

Selain itu, katanya Enakmen Jenayah Syariah yang dijanjikan akan disokong terus dinafikan untuk dibentang.

"Apakah PAS akan percaya di saat Umno tertekan mereka mencari PAS?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menegaskan PAS tidak akan jadi penyelamat kebobrokan dalam Umno BN.

"Kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada saat kemelut yang melanda dalaman mereka sekarang hanyalah satu usaha mengalih isu sebenar yang sedang melanda PM," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 8/12/2015

Share on Myspace