Khalwat: Pendirian G25 ada agenda tersirat

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Gesaan G25 untuk memansuhkan undang-undang syariat mengenai khalwat atas nama hak privasi seseorang individu sebenarnya adalah bertujuan untuk mencairkan syariat dan meletakkan syariat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan itu yang jelas membawa pemikiran sekular dan liberal cuba berhujah bahawa undang-undang syariat bukan kudus atau suci dan ia dianggap undang-undang manusia yang boleh dipersoal dan dicabar.

Soalnya G25 agenda sebenarnya mahu undang-undang syariat tidak mengawal urusan peribadi seseorang dan menolak Islam dijadikan sebagai dasar utama pembangunan negara. Islam mahu disudutkan hanya kepada persoalan ritual semata dan bersifat peribadi sebagaimana yang selama ini telah diperlakukan oleh penjajah British sejak kira-kira 200 tahun yang lalu.

Pemikiran mereka cenderung untuk menjadikan Malaysia seperti negara barat yang tidak kisah terhadap hidup bebas dalam masyarakat sehingga menghalalkan apa sahaja atas nama kebebasan dan urusan peribadi.

Dengan mengungkapkan Islam sebagai agama yang pemaaf dan dan hormat kepada hak peribadi tidak bermakna kebebasan untuk melakukan apa sahaja tanpa batas akhlak boleh dibenarkan.

Siapakah di kalangan anggota G25 itu yang sebenarnya mempunyai kepakaran dan keilmuan Islam yang mencukupi untuk mempersoalkan hukum agama. Dengan hanya mengguna logik akal tanpa tahu bagaimana hukum syariat dirumuskan mendedahkan diri mereka kepada mempersoal sesuatu yang sudah jelas dan muktamad dalam hukum syariat.

Kami kesal kumpulan yang mengguna kedudukan mereka atas nama ketokohan Melayu ditonjol sebagai kumpulan yang layak dan boleh mencabar hukum Islam beralaskan hak kebebasan bersuara dan faham kesederhanaan yang ditafsir sendiri.

Jika jelas ramai umat Islam di negara ini cenderung untuk menerima syariat ditegakkan dalam kehidupan, apa hak G25 untuk mempersoal dan mencabar kedudukan syariat dalam perundungan negara.

Kami menggesa G25 yang didukung oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhenti menjadi alat kepada agenda meminggirkan syariat. Bukan sahaja ini akan mendedahkan status keyakinan mereka terhadap hukum-hukum Allah SWT, malah terperangkap dalam aliran pemikiran sekular liberal yang selama ini bertentangan dengan aqidah Islam.

Dengan berselindung di sebalik pentafsiran Perlembagaan Persekutuan untuk mempertahankan hujah mereka, bukan suatu tindakan yang betul jika benar mereka berniat baik untuk menjaga kesucian dan kepentingan Islam.

Mereka juga cuba mendapatkan sokongan dari beberapa tokoh-tokoh dan kepimpinan senior negara untuk mempengaruhi aliran dan arah tuju negara dengan mengguna hujah yang berasaskan faham sekular liberal.

Sementara kami juga krtitikal terhadap kepincangan urustadbir yang ada, namun kami tidak dapat menerima pendirian G25 yang cuba mengarusperdanakan pemikiran meminggirkan syariat dalam perundangan Islam di negara ini.

Kami menggesa pihak berkuasa menangani kekeliruan yang ditimbulkan oleh G25 dan menegaskan bahawa undang-undang Islam yang dikuatkuasakan oleh negeri dan kerajaan pusat tidak akan dimansuhkan, malah diperkukuhkan. - HARAKAHDAILY 8/12/2015

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Share on Myspace