Erdogan terima Doktor Kehormat dari Universiti Qatar

HARAKAHDAILY | .

DI SELA-sela kunjungan diplomatik Presiden Turki Recep Tayip Erdogan dan rombongan di Doha, Qatar, Erdogan berkesempatan memenuhi jemputan Universiti Qatar (QU) pada 2 Disember lalu.

Dalam acara itu, Erdogan menyampaikan sambutan dan pidato di tengah-tengah ahli akademik di kampus negeri tertua di negara teluk itu.

Dari mesej singkat undangan yang diterima dari QU, disebutkan bahawa terdapat permintaan yang sangat besar dari para mahasiswa dan ahli akademik kampus QU untuk menghadirkan Erdogan yang akhir-akhir ini sangat disegani oleh masyarakat dunia antarabangsa dan serantau, khususnya selepas kes penembakan pesawat Rusia yang disyaki menceroboh batas udara kedaulatan Turki.

Hadir dalam acara tersebut sejumlah menteri, Duta Besar Turki untuk Qatar Ahmet Demirok, dewan pimpinan Universiti Qatar, pejabat kedutaan besar Turki untuk Qatar, wakil-wakil media tempatan dan antarabangsa, dan ahli akademik QU yang merangkumi para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa.

Dalam kesempatan itu, Universiti Qatar menganugerahkan Doktor Kehormat pertama untuk Erdogan dalam sebuah upacara khas di universiti negeri tersebut.

Presiden Universiti Qatar, Dr Hassan Rashid al Derham dalam kesempatan tersebut berkata, seiring dengan peningkatan hubungan Qatar-Turki di bidang ekonomi secara ketara, kunjungan kali ini akan meningkatkan lebih jauh kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Al Derham lebih lanjut menekankan pentingnya pembangunan sumber daya manusia untuk Qatar, dan ia juga menonjolkan komitmen negara Qatar untuk mengerahkan pelaburan besar-besaran dalam pembangunan sumber daya manusia melalui pendidikan yang berkualiti, penyelidikan yang inovatif, perkhidmatan kesihatan terbaik dan peluang kerjaya yang dapat memperkasakan generasi muda agar dapat menjadi pembawa perubahan positif menuju Qatar Visi Nasional 2030.

Bercakap kepada Presiden Turki Erdogan dalam kaitan dengan lawatan beliau, Dr Al Derham mengatakan: "Sebagai universiti kebangsaan, QU memainkan peranan penting dalam membina pengetahuan, mengembangkan bakat, dan mengembangkan kemahiran kepimpinan sebagai keutamaan utama. Mesyuarat mahasiswa dengan teladan kepimpinan kontemporari akan memberi inspirasi kepada mereka dalam mengukir kehidupan peribadi mereka dalam kehidupan. Dalam hal ini, kunjungan anda hari ini mempunyai arti khusus bagi universiti kami."

Melalui laman web rasmi presiden Turki, Erdogan berterima kasih secara khusus kepada Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani atas keramahannya dan anugerah Doktor Kehormat daripada Universiti Qatar.

Erdogan berkata Turki dan Qatar berkongsi hubungan yang sangat baik yang berakar dari kuatnya hubungan sejarah mereka.

"Saya gembira bahawa hubungan antar negara dan rakyat kita semakin hari semakin menunjukkan kemakmuran," ujar Erdogan.

Mengenai kestabilan politik Turki dan Qatar, Erdogan melahirkan rasa bangga Qatar yang mampu membina keunikannya tersendiri dalam bidang politik, ekonomi dan budaya.

"Saya percaya bahawa kita menuju masa depan yang lebih cemerlang dan semua ini berkat sumbangan anda, para pemuda," kata Erdogan kepada para mahasiswa. [Islampos]

Share on Myspace